Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bilangan hari cabutan khas nombor ekor dikurangkan mulai 2019

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan bercadang mengurangkan bilangan hari cabutan khas untuk semua syarikat nombor ramalan bermula 2019 dalam usaha mengurangkan masalah sosial melibatkan aktiviti perjudian.

Menurut Lim, dasar baru ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2019 pada 2 Nov nanti.

"Pada tahun 2018 sebanyak 22 kali cabutan khas diadakan serentak di seluruh negara.

"Pengurangan bilangan cabutan khas ini adalah langkah awal kerajaan dalam mengurangkan aktiviti perjudian agar aktiviti ini tidak mendatangkan masalah sosial seperti ketagihan judi melampau," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan merancang membenarkan syarikat ramalan nombor seperti Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai terus mengadakan cabutan khas pada hari Selasa tertentu bagi tahun 2019 dan masa akan datang.

Cabutan khas dimulakan pada tahun 1999 bagi membantu mangsa wabak Virus Nipah pada masa itu namun ia diteruskan sehingga kini walaupun wabak itu telah lama berakhir.

Mengulas lanjut, Lim berkata secara purata kerajaan mengutip sebanyak RM200 juta cukai dosa sejak tahun 1999 atau purata RM20 juta cukai dosa dikutip setiap tahun.

"Tujuan wang akaun ini antara lain untuk menampung program sukan, kesihatan, kebudayaan dan aktiviti sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara seperti yang terkandung dalam garis panduan penggunaan wang akaun amanah sumber khas Kementerian Kewangan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran) mengapa kerajaan tidak menguatkuasakan pengurangan jadual cabutan khas itu pada masa ini jika benar-benar berhasrat mengurangkan masalah sosial akibat perjudian, Lim berkata kerajaan tidak mahu membuat sesuatu secara tergesa-gesa dan memberi masa semua pihak terlibat untuk bersedia.

"Ini satu penambahbaikan bila kita kurangkan, kita nak lihat kemajuan dalam masa akan datang kita juga nak buat secara adil kepada semua pihak. Notis akan diberi kepada mereka (syarikat) yang terlibat, bukankah ini lebih baik daripada kerajaan sebelum ini di mana ia dikekalkan dan tidak dikurangkan langsung?," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang mempersoalkan langkah kerajaan Pakatan Harapan meneruskan cabutan khas sedangkan terdapat anggota Parlimen DAP sendiri yang mendesak cabutan khas nombor ramalan dihentikan kerana ia menyebabkan masalah kewangan terutama kepada golongan berpendapatan rendah terjebak dalam aktiviti perjudian.

Takiyuddin turut membacakan laporan yang dikeluarkan Roketkini.com pada 1 Nov, 2016 yang menyebut dua anggota Parlimen DAP iaitu anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan bekas anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong mendesak kerajaan menghentikan cabutan khas nombor ramalan.

Berdasarkan laporan itu, Loke berkata cabutan nombor ramalan ini diperuntukkan setiap minggu oleh Kementerian Kewangan kepada setiap syarikat nombor ramalan seperti Magnum, Toto dan Da Ma Cai pada hari Rabu, Sabtu dan Ahad.

Manakala cabutan khas lazimnya diperuntukkan dua kali dalam tempoh sebulan pada hari Selasa menyebabkan pada minggu yang ada cabutan khas, akan ada empat hari cabutan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS