Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Tiga hari dua malam bersama masyarakat pribumi suku Temiar di Gua Musang, Kelantan cukup memberikan impak dan membuka mata tentang nasib anak bangsa bagi suku Temiar ini.

Pedih mendengar rintihan mereka dan tidak dapat dibayangkan, bagaimana sebuah kerajaan negeri (Kelantan) yang menggunakan 'Islam' sebagai komoditi politik begitu rakus memperdagangkan hasil bumi kepada cukung-cukung semata demi kebendaan persis sang kapitalis dengan menidakkan hak suku pribumi Temiar!

Kenyataan YB PAS, Takiyuddin Hassan baru-baru ini juga bercanggah dengan nasib yang dialami mereka.

Bukan sahaja kerajaan negeri Kelantan ini merupakan satu-satunya negeri yang tidak mengiktiraf Tanah Adat!

Malah 'Tanah Rayau' yang digunakan orang Asli di Gua Musang demi kelangsungan hidup bagi tujuan berburu serta bercucuk tanam dan diwartakan oleh kerajaan negeri seperti yang dicanang begitu teruk dijarah!

Ia suatu kenyataan 'falasi' dan penipuan terbesar kerajaan PAS Kelantan zahirkan kepada khalayak! Tiada cerminan Islam dalam perbuatan mereka.

Kawasan Tanah Rayau ini sebahagiannya habis digadaikan kepada syarikat pembalakan malah turut digunakan oleh cukong-cukong ini bagi penanaman Durian Musang King yang tidak membawa pulangan kepada masyarakat Orang Asli selain turut mengganggu ekosistem yang menjejaskan kehidupan mereka.

Mengambil contoh ekosistem yang terjejas, Sungai Nenggiri di sepanjang kawasan Pusat Arkeologi Gua Cha (yang tidak diselenggara) dan turut menempatkan masyarakat orang Asli di sekitar nyata tercemar kesan pembalakan.

Sungai ini adalah sumber utama yang menjadi tempat masyarakat orang Asli bergantung untuk keperluan harian, secara jelas tidak lagi sihat untuk digunakan.

Airnya telah tercemar dan mengalami mendapan menjadikan sungai ini kotor dan cetek sehingga hasil sungai berkurangan sekali gus memberi kesan terhadap pendapatan harian komuniti tersebut.

Malah ramai dalam kalangan anak orang Asli dan warga tua yang jatuh sakit kesan perbuatan rakus dan tamak ini!

Dan kerajaan PAS Kelantan tampak sedikitpun tidak kisah tentang kesusahan yang dialami.

'Tak iktiraf kerana bukan Islam'

Lebih mengejutkan, apabila mengimbau kenyataan seorang wakil orang Asli yang ditemui yang pernah berurusan dengan pihak dari kerajaan Kelantan, beliau mengatakan alasan kenapa kerajaan PAS Kelantan enggan mengiktiraf 'Tanah Adat' adalah kerana rata-rata orang Asli ini tidak beragama Islam!

Ini adalah alasan yang cukup menyakitkan dan terpesong dari konsep 'Rahmatan Lil A'lameen' yang seharusnya dipraktikkan oleh sebuah kerajaan yang mengaku sebagai sebuah kerajaan Islam.

Situasi hak tanah di Kelantan ini tidak ubah seperti konflik Palestin dan Israel, ironinya adakah kerajaan PAS Kelantan yang bersikap seperti Zionis dengan menidakkan hak Orang Asli selaku penjaga alam yang merupakan tanah tradisi tempat tinggal mereka?


MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR ialah Exco ARMADA Nasional (MALAYSIA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
.

Lihat Komen
ADS