Malaysiakini
BERITA

Bukan Petron saja bekalkan petrol dan diesel untuk kerajaan

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Ogs 2018, 11:34 tengahari

Kementerian Kewangan menjelaskan, pelantikan syarikat Petron sebagai salah satu pembekal minyak untuk kenderaan kerajaan dibuat untuk mewujudkan persaingan sihat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu petang ini, Petron bukanlah pembekal tunggal untuk minyak bagi kegunaan kenderaan kerajaan.

"Perlu ditegaskan, Petronas dan Shell masih merupakan pembekal minyak petrol dan diesel untuk kegunaan kerajaan sejak 1997," katanya.

Kata Kementerian Kewangan pelantikan Petron itu juga tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan, dan dibuat mengikut kaedah pentadbiran yang normal.

Melalui pelantikan itu kata Kementerian Kewangan kerajaan memiliki lebih banyak pilihan.

"Dan ia dapat membuka peluang serta persaingan sihat di kalangan pembekal minyak petrol dan diesel," katanya.

Terdahulu satu gambar yang memaparkan sebahagian kandungan surat mengenai pelantikan Petron sebagai pembekal petrol dan diesel kepada kerajaan menjadi tular.

Malaysiakini mengesahkan dengan sumber kerajaan bahawa surat itu memang diedarkan kepada kementerian dan menyatakan Petron akan menjadi "salah satu pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan melalui kad inden".

Ia cepat menarik perhatian ramai kerana anak perdana menteri, Mirzan Mahathir, menjadi salah seorang pengarah syarikat Petron Corporation yang berpangkalan di Filipina.

Mirzan menjadi pengarah syarikat itu sejak 2010.

Menurut Kementerian Kewangan kerajaan tidak mengehadkan jumlah pembekal untuk menyediakan petrol dan diesel kepada kenderaan kerajaan.

"Pembekal lain yang berwibawa dan mempunyai jaringan stesen di seluruh negara juga boleh memohon," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.