Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah rayu AG berhubung hukuman mati ke atas Lukman
Diterbitkan:  Sep 17, 2018 11:26 PM
Dikemaskini: 3:48 PM

Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan menulis rayuan kepada Peguam Negara, Thommy Thomas berhubung kes seorang lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja yang diproses untuk tujuan perubatan.

Nurul Izzah berkata, beliau akan menulis rayuan itu secara peribadi untuk mendapatkan pengampunan terhadap Muhammad Lukman Mohamad, berdasarkan merit kes itu.

"Ganja semakin diterima ramai di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya rawatan pelbagai penyakit kronik.

"Sudah tiba masanya untuk menyemak semula definisi apa yang membezakan seseorang individu, pengedar, penagih atau pesakit yang memerlukan ganja untuk rawatan," katanya dipetik The Star Online.

Lukman, bapa berusia 29 tahun ditahan bersama isterinya yang sedang hamil dalam satu serbuan di rumahnya pada Disember 2015.

Dia didapati memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocan nabinol (THC).

Pada 30 Ogos lalu, Lukman dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. 

Kes itu menjadi tular di laman sosial dan mendapat perhatian netizen kerana Lukman dikatakan menggunakan ganja dalam bentuk minyak untuk tujuan perubatan.

Berdasarkan laporan media, Lukman telah memberikan rawatan alternatif itu kepada tidak kurang daripada 800 pesakit.

Sepanjang perbicaraan kes itu, peguamnya, Farhan Maaruf telah membawa saksi-saksi yang pernah mendapatkan khidmat perubatan minyak ganja daripadanya.

Di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, individu yang didapati memiliki 200 gram ganja atau lebih, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Bagaimanapun, di kebanyakan negara maju kini lebih terbuka dengan penggunaan ganja terutamanya untuk tujuan perubatan.

Sementara itu, satu petisyen untuk menggesa pembebasan Lukman telah diwujudkan dan setakat ini telah berjaya mengumpulkan lebih 40,000 tandatangan.

 

Lihat Komen
ADS