Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pokok besar tepi jalan di Perlis umpama 'bom masa' - ADUN
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 7:26 AM
Dikemaskini: 11:33 PM

Kerajaan Perlis digesa menebang segera pokok-pokok besar di tepi jalan raya di sekitar negeri ini kerana ia diibaratkan umpama 'bom masa’ yang menjadi antara satu punca utama kemalangan terutama ketika hujan lebat atau ribut.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata sering berlaku kejadian pokok tumbang di jalan raya sehingga menghalang laluan dan lebih serius apabila ada yang menyebabkan kemalangan maut.

“Dalam kejadian ribut semalam misalnya, empat maut dalam kemalangan berasingan dan ada kes pemandu terlanggar pokok yang tumbang ke jalan raya akibat angin kuat.

“Kerajaan negeri harus kaji segera rasional pokok balak ditanam di tepi jalan ini kerana ia memberikan impak yang dahsyat kepada pengguna jalan raya,” katanya kepada Bernama selepas meninjau kawasan dilanda ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri Sena dan Bintong di sini, petang ini.

Terdahulu, Asrul Nizan melawat beberapa rumah yang mengalami kerosakan di Kampung Baru, Jalan Kaki Bukit, Kampung Baru, Repoh dan Taman Sri Intan dekat sini serta turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga terbabit.

Dalam kejadian ribut di beberapa tempat di Perlis malam semalam, sebanyak 139 laporan membabitkan kerosakan kediaman diterima sehingga 4 petang tadi, selain banyak pokok tumbang di jalan raya sehingga menyebabkan beberapa insiden termasuk kemalangan maut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS