Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Morais: Tertuduh ke-7 nafi bohong ditawar RM3.5 j oleh Najib
Diterbitkan:  Oct 5, 2018 5:33 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais menafikan bahawa segala keterangan yang diberikan sepanjang prosiding membela dirinya di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, adalah satu pembohongan dan rekaan semata-mata.

S Ravi Chandaran, 47, yang merupakan saksi pembelaan keenam turut tidak bersetuju bahawa dia kini berada dalam situasi ‘terkapai-kapai’ sehingga sanggup menuding jari kepada sesiapa sahaja termasuk mengaitkan peguam dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes itu.

Ravi Chandaran berkata demikian ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding membela diri hari ke-25, hari ini:

Soal jawab

Wan Shaharuddin : Kamu ditangkap pada 15 September 2015? Dalam perjalanan balik ke ‘hometown’ (di Kedah)?

Ravi Chandaran : Ya

Wan Shaharuddin : Apabila ditangkap, sepanjang masa polis bertanyakan tentang kejadian (pembunuhan) ini?

Ravi Chandaran : Ya

Wan Shaharuddin : Kalau apa-apa kamu ingin ceritakan, itu adalah peluang terawal (untuk menceritakan kejadian sebenar).

Ravi Chandaran : Ya

Wan Shaharuddin : Kamu ada ceritakan semua kepada polis?

Ravi Chandaran : Tidak.Saya tidak ceritakan banyak perkara.

Wan Shaharuddin : Kamu tidak ceritakan banyak perkara sebab perkara yang kamu beritahu di mahkamah adalah satu pembohongan dan sesuatu yang direka.

Ravi Chandaran : Tidak setuju.

Wan Shaharuddin : Jika benar kamu tidak bersalah, itu adalah peluang untuk kamu ceritakan segala-galanya, pada 15 September tersebut.

Ravi Chandaran : Tidak setuju.

Wan Shaharuddin : Segala-galanya yang saya maksudkan adalah tentang pembunuhan Kevin Morais, penglibatan peguam yang mewakili tertuduh pertama dan Datuk Seri Najib (Razak). Kamu tak cerita sebab perkara yang kamu beritahu di mahkamah tidak berlaku.

Ravi Chandaran : Tidak setuju.

Wan Shaharuddin : Kamu sebenarnya sekarang ini terkapai-kapai untuk menarik sesiapa sahaja dengan kamu, kerana sebenarnya kamu adalah ‘mastermind’ bersama Dr Kunaseegaran dalam membunuh Kevin Morais sehingga sanggup mengaitkan peguam.

Ravi Chandaran : Tidak setuju

Ditawarkan RM3.5 juta melalui pegawai penjara

Tertuduh turut tidak bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa empat lagi tertuduh iaitu R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath; dan S Nimalan adalah orang suruhannya dan Dr Kunaseegaran.

Pada prosiding sebelum ini, Ravi Chandaran mengakui bahawa dia telah membuat laporan polis mendakwa bekas perdana menteri itu telah menawarkan RM3.5 juta melalui pegawai penjara untuk mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.

Dalam laporan polis itu juga dia mengakui bahawa adik Kevin Morais, Richard Morais juga menawarkan RM2 juta supaya dia mengaku membunuh Kevin Morais, manakala semasa memberi keterangan di mahkamah dia memberitahu Dr Kunaseegaran menawarkan RM1.5 juta untuk dia mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.

Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 Oktober.

- Bernama

Lihat Komen
ADS