Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bodoh samakan Zahid dengan fitnah ke atas nabi'
Diterbitkan:  Oct 26, 2018 12:34 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam dibidas kerana menyamakan pendakwaan terhadap presiden parti itu dengan fitnah terhadap Nabi Muhammad.

Pemimpin Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday menyifatkan kenyataan Lokman sebagai bodoh dan memalukan parti itu.

"Saya nasihatkan @LokmanAdam supaya tak bercakap mengikut nafsu seandainya tak cukup ilmu.

"Menyamakan presiden yang didakwa di mahkamah dengan fitnah yang dilempar kepada nabi adalah suatu kebodohan - Muhammad SAW itu maksum. Ia hanya memalukan Umno kerana saudara pimpinan tertinggi parti," kata Jais di Twitter.

Tweet itu turut diulang oleh anggota parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Ketua Umno Kluang itu merujuk kenyataan Lokman malam tadi yang menuntut agar ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki meletakkan jawatan.


Baca: Asyraf bangsat gesa Zahid cuti seketika


Ini selepas Asyraf berkata Zahid wajar melepaskan sementara jawatan itu agar dapat memberi tumpuan terhadap pertuduhan ke atasnya di mahkamah.

Lokman, dalam video Facebook malam tadi berkata Nabi Muhammad juga pernah difitnah, tetapi Allah tidak memerintahkan baginda 'bercuti'.

"Apakah Rasulullah tidak pernah difitnah, dicerca dan dimaki musuh? Pernah diturunkan ayat yang memerintahkan Rasulullah bercuti?" soal Lokman.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, ketua bahagian Umno Tebrau Maulizan Bujang turut menyokong saranan agar Zahid bercuti.

Menurutnya dengan mengambil cuti, Zahid boleh memberi tumpuan untuk mempertahankan dirinya dan Umno juga boleh meneruskan proses pemulihan parti itu.

Lihat Komen
ADS