Berita Malaysiakini

Dr M adakan pertemuan tertutup dengan pimpinan Bersatu K'tan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira sejam bermula pukul 10.15 pagi yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu Kelantan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Datuk Kamaruddin Md Nor dan timbalannya Datuk Sazmi Miah.

Dr Mahathir yang kini dalam rangka lawatan seharinya ke Kelantan, selepas itu menghadiri majlis ramah mesra bersama pimpinan Pakatan Harapan Kelantan di hotel yang sama.

Turut mengiringi beliau ialah isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Kamaruddin dan Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Petang ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dijadual mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di hotel tersebut, dipercayai bagi membincangkan pelbagai perkara menyentuh soal pembangunan negeri.

Mengakhiri lawatan, Dr Mahathir akan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan Persekutuan di negeri ini.

- Bernama