Berita Malaysiakini

Kerajaan akan tentukan cara agihan royalti Kelantan

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  | 

Kerajaan persekutuan sedang berusaha untuk menentukan cara agihan wang royalti petroleum kepada negeri Kelantan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, cadangan kerajaan untuk memberi 20 peratus royalti minyak daripada hasil keuntungan sebelum ini tidak dipersetujui kerajaan negeri Kelantan.

"Kita sedang berusaha bagaimana nak bagi royalti kepada Kelantan, caranya kita akan tentukan," katanya ketika ditanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Beramah Mesra Harapan Kelantan bersama perdana menteri di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, perdana menteri dalam lawatan ke Kelantan hari ini akan dikunjungi Menteri Besar, Ahmad Yakob dan dijangka antara perkara bakal dibincangkan ialah mengenai agihan royalti petroleum.

Sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui manifesto PRU14 menggariskan royalti akan diberikan kepada negeri Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini diabaikan oleh BN.

Kerajaan persekutuan mencadangkan 20 peratus daripada keuntungan untuk diberikan kepada negeri berkenaan.

Kelantan bagaimanapun tidak bersetuju dan menegaskan mahu jumlah royalti disalurkan mengikut perjanjian asal iaitu sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran.

"Royalti 20 peratus daripada keuntungan, bukan keseluruhan, mereka kurang setuju, mereka nak jadikan sebahagian daripada kos keseluruhan.

"Bila keseluruhan bermakna 40 peratus kita bagi sebagai royalti dan Petronas akan bankrap," jelas Mahathir.

Sementara itu, ditanya mengenai langkah Sarawak memperkenalkan cukai jualan terhadap produk petroleum Dr Mahathir berkata, ia akan menyebabkan harga minyak semakin meningkat.

"Kalau kenakan cukai tambahan, mereka kene tanggung. Mereka (rakyat) akan beli minyak pada harga yang lebih," katanya.