Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Daging babi' ditemui di kawasan surau di Melaka
Diterbitkan:  Nov 27, 2018 1:56 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Dua buah surau di Serkam, Merlimau, Melaka pagi ini dikejutkan dengan penemuan cebisan dipercayai daging babi berserta nota di halamannya awal pagi tadi.

Menurut Sinar Harian, insiden di pertama disedari jemaah Surau Bukit Serkam kira-kira jam 5 pagi tadi ketika datang untuk menunaikan solat Subuh.

Jemaah surau berkenaan, Adam Abdullah, 65, berkata, ketika tiba di pintu pagar surau Bukit Serkam itu, dia melihat ketulan daging itu berserta dua keping kad manila yang bergulung sebelum memaklumkan kepada pihak surau.

Adam berkata, beliau tanpa berlengah segera menghubungi Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk memaklumkan kejadian itu.

"Lebih kurang jam 7 pagi polis sampai dan tak lama selepas itu pihak surau melakukan proses mencuci dan samak.

"Lebih 10 tahun surau ini diwujudkan inilah pertama kali kes seumpama ini berlaku," katanya yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimana pun, laporan berkenaan tidak mendedahkan kandungan nota yang ditemui bersama daging babi di surau tersebut.

Dalam satu kejadian berasingan kira-kira jam 8 pagi, sebuah lagi surau di Ladang Serkam, iaitu Surau An Nur turut dikejutkan dengan penemuan daging seumpama itu oleh seorang pekerja pembersihan wanita di situ.

Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Langkah segera telah diambil dengan mengarahkan anggotanya melakukan rondaan terutama di kawasan-kawasan rumah ibadat termasuk surau dan masjid untuk mencegah perkara itu berlaku dan kes disiasat bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

"Kita tidak mahu ada individu yang mengambil kesempatan dan dalam kehidupan bermasyarakat ini ia tidak patut berlaku," katanya.

Lihat Komen
ADS