Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis Evo kutip RM17j, Shaheizy: Terima kasih boh
Diterbitkan:  Dec 4, 2018 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Dibayangi kempen boikot oleh sebuah parti politik, filem Polis Evo 2 mencatat kutipan tiket membanggakan sejak ia ditayangkan kepada umum 22 Nov lalu.

Mengumumkannya di media sosial, salah seorang bintang Polis Evo 2, Shaheizy Sam, memaklumkan filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu sudah mengutip RM17 juta.

Menurut hantaran berkenaan, kutipan itu dicatat dalam tempoh 11 hari tayangan.

“Alhamdulillah hasil sokongan anda semua, Polis Evo 2 telah meraih kutipan mencecah RM17 juta dalam 11 hari.

"Jom kita buktikan yang filem tempatan juga mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

“Terima kasih boh! Jom kita ke pawagam yang berdekatan dan semarakkan semangat Polis Evo 2,” katanya di Instagram.

Sebelum ditayangkan, filem yang menyaksikan gandingan kali kedua Shaheizy dengan Zizan Razak itu dibayangi kontroversi apabila mencetuskan rasa kurang senang pemimpin PAS.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor, watak penjahat berserban yang dipaparkan dalam filem berkenaan disifatkan boleh menjejaskan imej Islam.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Polis Evo 2 tidak melanggar mana-mana peruntukan Garis Panduan Penapisan Filem KDN. 

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula memberi ‘lampu hijau’ selepas mengesahkan Polis Evo 2 tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam. 

Sekuel kepada Polis Evo itu mengisahkan Inspektor Khai - watak dibawa Shaheizy - dan Inspektor Sani (Zizan) cuba menyelamatkan tebusan selepas misi pengintipan bertukar menjadi sesuatu yang tidak dijangka.

Sekumpulan pengganas diketuai Hafsyam Jauhari atau Saif (Hasnul Rahmat) menyerang dan menawan pulau terpencil di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Polis Evo 2 turut dijayakan pelakon seperti Erra Fazira, Shafie Naswip, Riz Amin dan pelakon Indonesia, Raline Shah.

Lihat Komen
ADS