Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Reaksi positif, Adib dijangka kahwin hujung Dis - Zuraida
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yakin rancangan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim untuk melangsungkan perkahwinan pada penghujung bulan ini dapat direalisasikan susulan perkembangan positif sepanjang sembilan hari dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Menurutnya, beliau yakin Muhammad Adib akan pulih seperti seorang anak muda sesuai dengan umurnya iaitu 24 tahun hasil rawatan dan pemantauan berterusan IJN.

"Adib menunjukkan perkembangan yang positif dan doktor telah memberikan tumpuan yang sangat baik kepadanya.

"Saya percaya dengan rawatan dan pemantauan, Adib akan kembali pulih seperti sedia kala tetapi kini masih memerlukan rawatan insentif," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Muhammad Adib di IJN, di Kuala Lumpur, hari ini.

Zuraida berkata keluarga Muhammad Adib juga menunjukkan reaksi ceria selepas melihat perkembangan positif anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata Muhammad Adib akan kekal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga sembuh sepenuhnya.

"Keadaan Adib semakin pulih, 70 peratus stabil berbanding sebelum ini dan proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar.

"Kita puas hati dengan perkembangan positif Adib dari semasa ke semasa dan harap perkembangan yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” katanya.

Terdahulu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di IJN kira-kira 11 pagi dan meluangkan masa hampir setengah jam melawat Mohammad Adib.

"Hari ini adalah hari yang baik kerana Muhammad Adib buat pertama kali menunjukkan isyarat bagus.

“Dia sedar, tak boleh cakap tapi boleh dengar," ” kata Najib.

Muhammad Adib sebelum ini dilaporkan parah diserang sekumpulan perusuh ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS