Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isma cabar G25, Patriot berbahas isu negara Islam
Diterbitkan:  Jan 4, 2019 4:21 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mencabar kumpulan bekas penjawat awam (G25) dan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berbahas mengenai isu ‘Malaysia Negara Islam’.

Menurut laman web Isma.com, cabaran itu disuarakan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi, susulan pendirian dua kumpulan berkenaan menolak kempen Malaysia Negara Islam (MNI) yang dilancarkan baru-baru ini.

"Merujuk kepada laporan media berkenaan sanggahan Kumpulan G25 dan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) terhadap kempen Malaysia Negara Islam yang dilancarkan baru-baru ini dengan pelbagai tuduhan.

“Atas dasar ini, saya mencabar G25 dan Patriot untuk berbahas mengenai topik Malaysia Negara Islam ini. Kita akan berbahas dalam konteks perlembagaan, sejarah dan syarak.

“Tempoh 1 minggu diberikan kepada mereka untuk memberikan jawapan atas cabaran ini,” katanya.

Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji semalam dilapor menyokong pendirian G25 awal minggu ini yang mengatakan Malaysia akan menjadi negara miskin dan gagal jika mengikut model “negara Islam” seperti dalam kempen Isma.

Arshad berkata Patriot percaya sebarang cadangan untuk meminda perlembagaan mestilah bagi menjadikan negara lebih demokratik dan bukan lebih autokratik.

"Patriot bersama G25 menyatakan bahawa kami tidak akan menyokong pindaan yang akan mengubah kita daripada demokrasi kepada rejim otoritarian atau teokrasi," katanya.

Isma pada 26 Disember lalu melancarkan petisyen menolak kerajaan sekular dan mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam. 

Petisyen itu sehingga kini telah berjaya mengumpulkan 50,000 tandatangan sejak dilancarkan.

Lihat Komen
ADS