Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Harga RON95 turun 27 sen mulai tengah malam ini
Diterbitkan:  Jan 4, 2019 4:38 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Berkuat kuasa tengah malam ini, harga petrol RON95 akan diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter.

Harga runcit petrol RON97 pula akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter manakala harga runcit diesel akan diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Semua harga itu berkuat kuasa mulai 5 Januari 2019 sehingga 11 Januari 2019, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan hari ini.

“Penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam Sabtu, 5 Januari 2019.

“Seterusnya, harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini,” katanya.

Menurut Lim, pengumuman harga runcit bahan api itu akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu, dan berkuat kuasa mulai hari Sabtu sehingga Jumaat.

RON95 kekal pada paras RM2.20 seliter

Beliau berkata, kerajaan juga akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

“Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi,” katanya.

“Kaedah baru ini ialah inisiatif kerajaan persekutuan Pakatan Harapan yang tidak pernah diamalkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, pengekalan harga pada paras ini adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran.

Selain itu, beliau berkata bahawa harga baru itu turut mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh mesyuarat jemaah menteri.

Komisen pengusaha stesen

Kata Lim, pelarasan semula harga runcit produk petroleum ini juga mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, termasuk permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang memohon supaya kadar margin mereka digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

“Sehubungan ini, Kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel.

“Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa. Kali terakhir kadar margin ini disemak semula adalah pada tahun 2008,” kata Lim.


Lihat Komen
ADS