Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan nampaknya mendapat perhatian dan menjadi polemik dalam kalangan pemimpin serta penyokong PH di negeri itu.

Namun ia boleh dianggap bukanlah keputusan yang tepat dibuat Putrajaya.

Di sini saya menampilkan 10 sebab mengapa lantikan tersebut perlu diperhalusi dan diteliti semula oleh PH:

1) Menambah spekulasi tidak perlu

Pelantikan yang berkuat kuasa 1 Januari itu menimbulkan pelbagai spekulasi tidak perlu dalam kalangan aktivis dan penganalisis politik mengenai sebab sebenar ia dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sesetengah pihak yang mengaitkan pelantikan Azmin itu sebagai cubaan Mahathir untuk melemahkan pengaruh Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Umum mengetahui hubungan di antara Azmin dan Anwar tidak berapa baik sejak akhir-akhir ini. Spekulasi tidak sihat dan boleh mengganggu keharmonian dalam PH ini boleh dielakkan jika pelantikan Azmin dikaji semula.

2) Perancangan MTNg adalah untuk Husam

Penubuhan MTNg Kelantan ini asalnya idea Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, yang menyatakannya pada 29 Julai 2018, dan dengan persetujuan PH negeri.

Komposisi, struktur dan MTNg Kelantan juga diumumkan oleh Husam pada waktu itu dengan menyebut bahawa ia akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai 10 ahli merangkumi dua wakil bagi setiap parti komponen PH, selain masing-masing seorang wakil wanita dan wakil pemuda.

Timbalan Pengerusi PH Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah, mengesahkan pada 18 September 2018 bahawa kertas kerja cadangan penubuhan MTNg Kelantan dalam proses akhir disiapkan oleh Husam sebelum diserahkan kepada Mahathir.

Oleh itu, sangatlah tidak sesuai apabila pemimpin yang tidak terlibat dalam penubuhan MTNg Kelantan dilantik pula mengetuainya.

3) Husam ialah pilihan konsesus PH Kelantan

Seperti dalam pengumuman dibuat oleh Husam pada 29 Julai 2018 dan Wan Abd Rahim pada 18 September 2018, konsensus PH Kelantan ialah supaya Husam dilantik sebagai pengerusi MTNg negeri itu.

Sebarang cubaan untuk menukar keputusan yang dibuat oleh PH Kelantan dengan melantik tokoh selain Husam sebagai pengerusi MTNg Kelantan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada kepimpinan negeri adalah pencabulan ke atas semangat berorganisasi dalam PH dan ia boleh melemahkan keutuhannya.

Ini sekali gus melemahkan PH Kelantan untuk menghadapi PRU ke-15

4) Azmin bukan pengerusi PH Kelantan

Pelantikan Azmin sebagai Pengerusi MTNg juga perlu dikaji semula kerana pemimpin yang sepatutnya dilantik mengisi jawatan berkenaan ialah pengerusi PH Kelantan.

Ia bertujuan menyelaraskan kegiatan parti dan kegiatan kerajaan di peringkat negeri.

Jika pengerusi MTNg Kelantan bukan terdiri daripada pimpinan PH negeri itu maka mereka tidak akan dilihat mempunyai aura, ketokohan dan pengaruh dalam kalangan rakyat Kelantan.

Ia secara tidak langsung menyukarkan rakyat memberi keyakinan kepada PH pada masa depan.

Jika lantikan pengerusi MTNg Kelantan diwajibkan seorang menteri, maka pengerusi PH Kelantan hendaklah diangkat sebagai anggota kabinet agar ia memenuhi kriteria berkenaan.

5) Azmin bukan pemimpin Amanah

Telah dipersetujui oleh PH menjelang PRU ke-14 bahawa Kelantan adalah negeri yang diterajui oleh Amanah. Begitu juga dengan Terengganu dan Melaka.

Atas sebab sama, walaupun Bersatu hanya memenangi satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri di Perak, Adun tersebut tetap dilantik sebagai menteri besar Perak selepas sebagai menghormati konsensus itu.

Sebab itulah lantikan Pengerusi MTNg Kelantan, juga Pengerusi MTNg Terengganu, perlu dibuat dari kalangan pemimpin Amanah. Sedangkan Azmin bukanlah pemimpin Amanah.

Lantikan pemimpin Amanah sebagai pengerusi MTNg Kelantan juga selari dengan apa yang berlaku di Pahang di mana pemimpin PKR dilantik pengerusi MTNg Pahang disebabkan Pahang adalah negeri yang diterajui oleh PKR.

Jika konsensus itu dicabul, ia akan memungkinkan kedudukan Bersatu di Perak, Kedah dan Johor dipersoal. Kalaupun bukan Husam, jawatan itu perlu diberi kepada menteri Amanah seperti Mohamad Sabu atau Salahuddin Ayub yang berpengalaman menjadi anggota parlimen di Kelantan.

6) Bukan anak Kelantan

Hanya anak Kelantan yang benar-benar tahu masalah pembangunan di Kelantan dan lebih mengenali hati budi dan peribadi rakyatnya.

Lantikan anak Kelantan yang bermastautin di Kelantan sebagai pengerusi MTNg Kelantan juga akan lebih menonjolkan bakat kepimpinan anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

7) Azmin tidak disokong PH Kelantan

Tidak semua pemimpin PH Kelantan memberikan sokongan kepada Azmin. Tanpa sokongan padu daripada pemimpinan PH Kelantan tidak dapat digambarkan bagaimana operasi agensi itu dapat berjalan lancar.

Ini kerana bukan setakat pemimpin Amanah Kelantan, bahkan pemimpin tertinggi PKR Kelantan juga diketahui tidak menyokong Azmin.

Ia kerana Azmin lebih senang berurusan dengan sesetengah pemimpin PKR Kelantan. 

Tanpa sokongan rasmi pemimpin tertinggi PKR Kelantan, di samping pemimpin tertinggi parti-parti komponen lain, Azmin akan menghadapi masalah besar dalam menjalankan tugas beliau sebagai pengerusi MTNg.

8) Akan timbulkan konflik kepentingan

Dalam aspek ini, ia dilihat akan menimbulkan konflik kepentingan atau berat sebelah dalam membuat keputusan apabila kesemua pengerusi MTNg terpaksa berurusan dan berada di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, iaitu Azmin sendiri.

Dalam keadaan Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan tetapi pengerusi-pengerusi Majlis Tindakan Negeri Terengganu, Pahang dan Perlis adalah pemimpin lain maka sudah tentulah akan timbul persepsi bahawa Azmin akan bias kepada MTNg Kelantan.

9) Azmin pengerusi PH Selangor

Selaku pengerusi PH Selangor Azmin seharusnya menumpukan fokus kepada usaha untuk menguatkan dan mempertahankan kedudukan PH di Selangor.

10) Azmin terlalu sibuk dengan tugasan lain

Akhir sekali tugas Azmin sebagai menteri pusat menjadikan beliau akan terlalu sibuk dengan urusan berkaitan kementeriannya.

Perkara ini juga turut disebutkan oleh ramai aktivis dan penganalisis politik.

Saya telah menyemak laman web rasmi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, membaca perutusan Azmin selaku menteri dan perutusan Saiful Anuar Lebai Hussen selaku ketua setiausaha.

Terpapar di situ betapa besar dan beratnya peranan dan tanggungjawab kementerian berkenaan yang diberi tanggungjawab memulihkan ekonomi negara dan mereformasi dasar pembangunan ekonomi negara.

Untuk melihat betapa besar dan beratnya peranan kementerian Azmin marilah kita sama-sama meneliti senarai nama unit dan agensi yang berada di bawahnya.

Unit utama:

* Unit Perancang Ekonomi (EPU)

* Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU)

Jabatan kerajaan:

* Jabatan Perangkaan Malaysia

Badan berkanun:

* Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)

* Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra)

* Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda)

Syarikat kerajaan/berkaitan kerajaan:

* Halal Development Corporation

* Bank Pembangunan Malaysia Berhad

* Amanah Raya Berhad (ARB)

* Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju)

* Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas)

* Malaysia Petroleum Resources Corporation Berhad

* Johor Petroleum Development Corporation (JPDC)

* Felda Global Ventures Holdings Berhad

* JKP Sdn Bhd

* MyHSR Corporation Sdn Bhd

* Pelaburan Hartanah Berhad

Yayasan:

* Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera

* Yayasan Ekuiti Nasional

* Yayasan Pelaburan Hartanah Bumiputera

* Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera

Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi turut bertanggungjawab terhadap 13 Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri.

Soalnya sekarang ialah, ketika kemampuan Azmin melaksanakan tanggungjawab besar di kementerian pun masih ipersoalkan, apakah bijak untuk beliau diberikan tugasan lain di peringkat negeri?

Jika sangat perlu jawatan pengerusi MTNg Kelantan diberikan kepada seorang tokoh kanan, tidakkah lebih bijak jika dilantik perdana menteri atau timbalan perdana menteri sahaja bagi mengisinya?

Kesimpulannya, isu pengerusi MTNg Kelantan perlu diselesaikan dalam situasi harmoni oleh kepimpinan PH pusat dan PH negeri supaya ia boleh melaksanakan tugas pemantauan dan penyelarasan projek kerajaan persekutuan secara lancar dan teratur.

Dalam keadaan politik Kelantan yang tidak menentu ada baiknya pimpinan pusat tidak mengeruhkan lagi keadaan. Cari solusi yang boleh membawa kepada situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.


PROF MADYA DR RUSDI OMAR ialah dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS