BERITA

PH perlu muhasabah hadapi PRK Rantau, kata Mujahid

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Mac 2019, 4:32 petang

PH perlu bermuhasabah di atas kekalahannya pada PRK Semenyih dalam menghadapi satu lagi pilihan raya kecil yang akan diadakan untuk kerusi DUN Rantau di negeri Sembilan.

"PH perlu segera membuat rumusan kekalahan dengan melihat lebih dalam segala kelemahan yang ada dan saya yakin dapatan yang diperolehi akan membantu proses pemulihan PH bagi bertempur di Rantau nanti," kata Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa.

Beliau juga berkata kemenangan BN di Semenyih bukan kerana faktor 'wow' calonnya yang terserlah tetapi kerana di mata pengundi calon PH tenggelam dan 'malap bintangnya'.

"Faktor calon turut menyumbangkan faktor 'wow' bagi para pengundi. Dalam melihat faktor calon, tidak dinafikan kemenangan calon BN di Semenyih bukan kerana faktor 'wow'- nya tetapi ia terserlah kerana tenggelamnya calon PH di mata pengundi dan malapnya bintangnya.

"Dalam melihat faktor calon, tidak dinafikan kemenangan calon BN di Semenyih bukan kerana faktor wownya tetapi ia terserlah kerana tenggelamnya calon PH di mata pengundi dan malap bintangnya," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mujahid yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata selain itu terdapat faktor kempen serangan BN terhadap prestasi kerajaan PH.

"Faktor 'prestasi Kerajaan PH' dijadikan bahan kempen bukan kerana BN ada solusi lebih baik tetapi ia berbentuk serangan memperkecilkan prestasi PH.

"Isu kos sara hidup dan bebanan kos dilihat sebagai kegagalan PH. Walhal, isu ini dulu menjadi bahan kempen PH dalam manifestonya bergelut dengan BN di PRU lalu," katanya lagi.

Eksploitasi isu

Menurut Mujahid, Umno dan PAS secara berleluasa mengeksploitasi isu Tabung Haji, hina Nabi dan dominasi DAP dalam kempen pilihan raya kecil ini.

"Penguasaan naratif Melayu Islam oleh Umno dan PAS kelihatan dominan walaupun ia dilihat tidak semestinya baik untuk Melayu, Islam.

"Umno dan PAS berleluasa mengeksploitasi isu Tabung Haji, hina Nabi dan dominasi DAP," ujarnya.

Kerusi DUN Semenyih kembali dikuasai BN selepas pengundian pada 2 Mac lalu. Ia pertukaran kerusi yang pertama sejak PRU14.

PRK Semenyih juga merupakan kemenangan kedua BN dalam enam PRK yang diadakan selepas PRU ke-14.

Calon BN Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi menang dengan majoriti 1914 undi mengalahkan pesaing terdekatnya calon PH Muhammad Aiman Zainali yang memperolehi 17,866 undi.

BN mendapat 50.44 peratus undi, meningkat daripada 30.88 peratus pada PRU lalu. Boleh dikatakan antara faktor utama peningkatan itu adalah undi daripada penyokong PAS.

Calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi dan calon Bebas Kuan Chee Heng 725 undi. Kedua-dua calon bebas dan PSM hilang wang pertaruhan.

Dengan kemenangan ini, BN kini mempunyai lima kerusi DUN di Selangor manakala kerusi PH pula berkurangan kepada 50.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.