Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keputusan kerajaan meletakkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dibuat atas faktor-faktor tertentu yang melibatkan kepentingan negara, kata penganalisis politik.

Namun, mereka tetap berpendapat ia wajar didedahkan dengan secara berhati-hati memandangkan laporan tersebut bertujuan untuk melakukan pembaharuan dan mempunyai kepentingan awam.

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia erkata sebagai rakyat, orang ramai ingin mengetahui apa yang dihasilkan CEP melalui laporan tersebut, walaupun tidak brasakan satu kesalahan untuk kerajaan mengklasifikasikannya di bawah OSA.

"Kemungkinan ada isi kandungan laporan itu tidak sesuai untuk didedahkan kepada umum. Saya rasa tiada masalah untuk kerajaan mengklasifikasikan sebegitu.

"Yang pasti kerajaan harus menyatakan sampai bila laporan itu akan diklasifikasikan (sulit).

"Seharusnya ada tempoh tertentu sebab rakyat perlu tahu isi kandungan laporan tersebut yang melibatkan pembaharuan ingin dilakukan dan kepentingan awam.

"Saya rasa tindakan klasifikasi ini tidak akan menjejaskan kerajaan sebab banyak rahsia negara khususnya berkaitan keselamatan dan kepentingan awam tidak akan didedahkan kepada pengetahuan umum," katanya kepada Malaysiakini.

Masih dilindungi OSA

Laporan CEP disiapkan oleh lima tokoh terpilih sejurus selepas PH berjaya membentuk kerajaan pada Mei tahun lalu.

Ia dipengerusikan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin. CEP ditugaskan untuk meneliti kepincangan pentadbiran BN serta mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan.

Mohd Azizuddinn

Ia diserahkan kepada kerajaan pada Ogos tahun lalu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk tidak mendedahkannya kepada umum.

Pada 28 Mac, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan CEP itu akan terus dilindungi mengikut OSA.

Prof Kartini Aboo Talib Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyifatkan "rahsia" yang dimaksudkan itu berkemungkinan mempunyai kandungan sensitif melibatkan hubungan antara kaum yang perlu dijaga dan mengelakkan kontroversi.

"Jika tindakan menyimpan sensitiviti sebegini akan lebih mengukuh dan memperkasakan hubungan harmoni sedia ada, maka elok ianya tidak didedahkan.

"Ia akan sensitif jika pendedahannya memberi lebih banyak kesan negatif berbanding positif yang boleh dimanfaatkan.

"Maka keputusan untuk tidak mendedahkan dikira lebih baik daripada mendedahkan, ibarat 'bohong sunat'," katanya.

Gambar arkib

Menurut Kartini, perkara itu juga boleh menjejaskan kestabilan jika desakan untuk mendedahkannya dibuat atas motif untuk mengaut kepentingan pihak tertentu.

Dalam keadaan itu katanya kerajaan akan terjejas secara tidak langsung.

Pandangan itu turut disokong Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Digunakan pihak asing

Kata Awang Azman kerajaan menentukan sesuatu dokumen itu rahsia atau tidak berdasarkan kepentingan strategik negara supaya dapat sebarang gugatan atau ancaman daripada musuh negara.

Contohnya kata Awang Azman, isu sensitif seperti ajaran Syiah di negara ini yang turut mengundang kemarahan, kebencian dan reaksi tindak balas penyokong tegar golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Awang Azman

"Begitu juga laporan kelemahan ekonomi negara akibat manipulasi negara dunia dan langkah strategik yang akan diambil.

"Ia boleh mendatangkan aib kepada negara dan menjadi strategi musuh asing.

"Dengan kata lain, laporan CEP itu tidak didedahkan untuk menjaga kestabilan negara.

"Namun bagi NGO sudah pasti mereka mahu ketelusan dan integriti walaupun impak jangka panjang boleh membahayakan kestabilan negara. Tuntutan mereka ini sesuai dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara," katanya.

Hari ini, sejumlah 54 NGO menggesa kerajaan persekutuan mendedahkan laporan CEP kepada umum dengan menyunting hal-hal dianggap sensitif.

Mereka berkata, laporan CEP serta Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) dibuat untuk mereformasikan kerajaan, justeru perlu diketahui orang awam.

Jeniri Amir

Sementara itu pensyarah Universiti Malaysia Sarawak Prof Jeniri Amir mempersoalkan mengapa kerajaan meletakkan laporan tersebut di bawah OSA selepas mewawancara pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk mendapatkan maklumat.

Sebaiknya, kata Jeniri, laporan itu dibawa ke peringkat seterusnya iaitu parlimen untuk dibahaskan, lebih-lebih lagi jika ia menyentuh hal berkaitan ekonomi, kepentingan awam dan langkah-langkah memperbaiki kehidupan rakyat.

"Jadi tidak ada sebab sama sekali untuk kerajaan mengklasifikasikan laporan CEP di bawah OSA, kecuali mungkin bahagian tertentu membabitkan keselamatan negara dan hubungan luar.

"Itu bukan hak eksklusif mereka (kerajaan). Jadi dengan masa yang begitu banyak dan pelbagai pihak dibabitkan dalam usaha untuk dapatkan input, maka sewajarnya ia didedahkan kepada umum.

"Ia tidak sepatutnya dikategorikan sedemikian rupa, hanya untuk diketahui untuk perdana menteri saja," katanya.

Untuk rekod hari ini juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata status laporan CEP akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet sebelum ditentukan untuk didedahkan kepada umum atau sebaliknnya.

CEP mewawancara 350 orang daripada 200 penubuhan, kebanyakannya dari kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ia bagi merangka suatu laporan dasar reformasi ekonomi dan kewangan untuk perdana menteri.

Laporan itu diserahkan kepada kerajaan selepas 100 hari penubuhan CEP. 

Lihat Komen
ADS