Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hospital awam kurang dana, kakitangan tapi ada pakar terbaik'

WAWANCARA | Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan untuk sektor kesihatan di negara ini disifatkan masih tidak mencukupi.

Meskipun peruntukan untuk kementeriannya meningkat sebanyak RM2 bilion di bawah Bajet 2019 kepada RM29 bilion, Dzulkefly berkata ia hanya 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Katanya, dalam menuju status negara maju Malaysia sepatutnya mempunyai perbelanjaan kesihatan sekurang-kurangnya pada kadar 6 peratus daripada KDNK.

“Kerana kedudukan (keadaan kewangan sedia ada) tak boleh penuhi kadar pembangunan negara.

“Lalu peruntukan bagi sektor kesihatan tidak diberikan secukupnya,” katanya ketika wawancara bersama media di pejabatnya di Kementerian Kesihatan di Putrajaya baru-baru ini.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mendakwa terpaksa mewarisi hutang yang tinggi daripada kerajaan terdahulu berjumlah lebih RM1 trilion tahun.

Perkara itu sering diulang sebagai sebab mengapa PH tidak dapat melaksanakan beberapa janji dalam manifestonya.

Menurut Dzulkefly, kekurangan dana secara tidak langsung menyebabkan bebanan kerja dihadapi di sektor awam bertambah berbanding sektor swasta.

“Sebagai contoh kononnya kita ada 40 peratus tenaga pakar di sektor awam yang menjaga 60 peratus kes pesakit. Sebaliknya, 60 peratus tenaga pakar di swasta menjaga 40 peratus kes.

"Daripada ukuran perimeter itu bebanan kerja dari sudut fasiliti sektor awam dan beban kerja untuk sektor swasta langsung tidak sepadan,” katanya.

Namun katanya, meskipun menghadapi kekangan tenaga pakar tetapi pakar perubatan yang terbaik kebanyakannya dari hospital kerajaan.

Selain itu kos perubatan yang rendah juga menyebabkan orang ramai memilih hospital kerajaan sehingga berlaku kesesakan.

Sebelum ini, KKM mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan pihak swasta dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.

Kerjasama tersebut dilaksanaka di bawah penubuhan majlis penasihat kesihatan.

Dzulkefly dilaporkan berkata beliau ingin mewujudkan kerjasama seumpama itu agar rakyat dapat menikmati kemudahan teknologi perubatan serba moden yang terdapat di sektor swasta.

Lihat Komen
ADS