Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-15: Maybank diarah pindah RM27 juta ke akaun Najib - saksi

KES NAJIB | Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-15 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawa anda laporan langsung.


Shafee minta saksi bawa dokumen tiga syarikat esok

3.29pm - DPP Sulaiman Kho menamatkan pemeriksaan utamanya dengan Halijah.

Ketua pasukan pembelaan Shafee Abdullah kemudian meminta mahkamah membenarkan saksi kembali ke pejabatnya untuk mengambil beberapa dokumen.

Shafee memberitahu hakim Nazlan bahawa beliau mahu Halijah membawa contoh tandatangan penandatangan untuk tiga syarikat - Putra Perdana Construction Sdn Bhd, Putra Perdana Development Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd - untuk pemeriksaan balas dengan pasukan pembelaan esok.

Halijah berkata dia boleh membawa dokumen tersebut esok.

Shafee berkata dokumen itu diperlukan untuk membuktikan wujud persamaan antara penandatangan syarikat-syarikat itu.

Beliau juga berkata salah seorang penandatangan merupakan pengarah kepada ketiga-tiga syarikat.

Nazlan kemudian membenarkan permintaan itu dan menangguhkan perbicaraan ke 8.45 pagi esok.


RM110 juta dipindah ke akaun Putra Perdana Construction

3.10pm - Saksi ke-31 Halijah Abdul Wahab berkata RM110 juta dipindah dari akaun Maybank Putra Perdana Development ke akaun Maybank Putra Perdana Construction pada 12 Disember 2014.

Dia memberitahu DPP Sulaiman berkata ia dibuat berdasarkan surat arahan pada tarikh sama.


'Permai Binaraya arah Maybank pindah RM27 juta ke akaun Najib'

2.40pm - Dalam keterangannya, Halijah berkata Maybank KL menerima arahan daripada Permai Binaraya Sdn Bhd pada 8 Julai untuk memindahkan RM27 juta ke akaun Ambank Najib.

Katanya, pindahan itu dibuat dari akaun Maybank Permai Binaraya (nombor akaun: 514012042754) ke akaun Ambank Najib dengan nombor akaun berakhir dengan '880'.

Surat arahan diterimat melalui faks pada 8 Julai 2014 dan disusuli salinan asal dua hari kemudian, katanya.

Halijah merujuk kepada dokumen bank seperti Rentas dan surat arahan dari Permai Binaraya.


Maybank diarah pindah RM140 juta ke SRC

2.10pm - Penolong Pengurus Maybank KL Halijah berkata pihak bank menerima arahan daripada Putra Perdana Construction Sdn Bhd untuk memindahkan RM140 juta ke akaun SRC International pada 12 Disember 2014.

Dia memberitahu mahkamah bahawa ia berdasarkan satu surat arahan daripada Putra Perdana Construction.

Pindahan dibuat dari akaun Maybank syarikat itu (nombor akaun: 014011327183) ke akaun Ambank SRC International (nombor akaun: 2112022010650).

Ketika Halimah mengesahkan dokumen bank berkenaan pemindahan RM140 juta, hakim Nazlan bertanya sekiranya terdapat caj perkhidmatan sebanyak RM2.

Nazlan: Ada dikenakan caj perkhidmatan RM2?

Halijah: Tiada.

Soalan yang cukup jelas itu menyebabkan hadirin di galeri awam tidak dapat menahan untuk tertawa kecil.

Pada keterangannya terdahulu, Halijah merujuk beberapa transaksi melibatkan akaun di Maybank yang mana caj perkhidmatan RM2 dilihat ditaip pada dokumen bank untuk akaun berkenaan menerima pemindahan wang yang dikatakan itu.


Hakim beri 30 minit untuk solat zuhur

1.04pm - Peguam Muhammad Shafee meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan untuk memberi laluan solat zuhur sebelum memulakan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-31, Penolong Pengurus Maybank KL Halijah Abdul Wahab.

Muhammad Shafee memberitahu Hakim Nazlan bahawa solat zuhur akan bermula pada 1.10 petang, dan mereka ingin bersolat di Masjid Wilayah yang terletak berdekatan.

Hakim Nazlan, memberitahu Shafee bahawa masjid itu hanya di seberang jalan.

Shafee kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan sedikit masa untuk sampai ke masjid.

Hakim kemudian membenarkan rehat selama 30 minit.

Terdahulu, saksi memberi keterangan bahawa Putra Perdana Construction Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd mempunyai akaun bank di cawangan Maybank KL.

Dia memberitahu mahkamah bahawa pada 8 Julai 2014, Putra Perdana Construction Sdn Bhd telah mengarahkan bank itu memindahkan RM34,999,993.00 ke akaun Permai Binaraya.

Nombor akaun Maybank Putra Perdana Construction ialah 014011327183 dan nombor akaun Maybank Permai Binaraya ialah 514012042754.


Shafee persoal diari siasatan pegawai penyiasat Bank Negara

12.00pm - Pemeriksaan balas terhadap pegawai penyiasat Bank Negara Farhan diteruskan dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan kaedah digunakan Farhan untuk menyimpan rekod serbuan Bank Negara dan siasatan terhadap AmBank.

Sebelum menjurus kepada soalan yang lebih terperinci tentang fail dan telefon bimbit yang disita oleh Bank Negara semasa serbuan di cawangan AmBank Jalan Raja Chulan pada tahun 2015, Muhammad Shafee menekan Farhan berhubung diari siasatan yang digunakan penyiasat untuk mencatat butiran langkah demi langkah siasatan.

Shafee: Adakah anda menyimpan diari siasatan semasa anda menyiasat? Apabila anda menyiasat, anda mengambil kenyataan dari saksi, anda memperoleh dokumen, apa sahaja yang anda lakukan, anda perlu mencatat dalam diari siasatan. Anda boleh memanggilnya dengan nama lain. Adakah anda mempunyai dokumen sedemikian? Sebagai sebuah sistem?

Farhan: Ya (saya lakukan), (ia dipanggil) diari siasatan.

Shafee: (Adakah dalam) format seperti Prosedur Kod Jenayah?

Farhan: Tidak, saya tidak tahu mengenai format.

Shafee: Ia diperlukan untuk diari siasatan.

Farhan: Saya tidak tahu tentang perkara itu.

Shafee: Di bawah peruntukan apakah anda memantau diari siasatan anda? Anda mesti tahu. Sebab diari siasatan anda mesti mempunyai nombor borang.

Farhan: Maaf saya tidak tahu.

Saksi keempat itu memberitahu mahkamah bahawa dia memang menyimpan diari siasatan, tetapi ia tidak dimasukkan sebagai sebahagian dari kertas siasatannya.

Farhan berkata dokumen itu ada dalam simpanan peribadinya, dan bersetuju dengan Shafee bahawa adalah untuk tidak menjadikannya terlalu bergantung pada ingatannya semata-mata.

Pemeriksaan balas itu kemudian diteruskan dengan Shafee bertanya kepada Farhan mengenai dokumen dan telefon bimbit yang disita semasa serbuan Bank Negara ke atas Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Farhan berkata serbuan itu menyita 11 fail dari bank itu, lapan daripadanya telah diserahkan kepada mahkamah sebagai bukti.

Semua fail itu juga telah diserahkan kepada SPRM, katanya.

Shafee kemudiannya menghampiri Farhan dan bertanya tentang dua telefon bimbit - sebuah Blackberry dan Samsung - yang dirampas dalam serbuan Bank Negara.

Farhan memberi keterangan bahawa telefon bimbit Blackberry itu dan laporan analisisnya telah diserahkan kepada SPRM pada Ogos 2015.

Namun, dia tidak tahu apa yang berlaku kepada telefon bimbit Samsung itu.

Shafee: Adakah anda melakukan siasatan forensik sebelum menyerahkan (kepada SPRM)?

Farhan: Secara peribadi tidak.

Shafee: Bukan secara peribadi, Bank Negara?

Farhan: Saya percaya, bagi telefon bimbit Blackberry, terdapat arahan, kerana saya melihat Suzarizman menyerahkan laporan kepada SPRM

Shafee: Mereka mengeluarkan maklumat dari Blackberry sebelum memberi kepada SPRM?

Farhan: Ya

Shafee: Maklumat yang diambil dari dua telefon? Satu Blackberry, satu Samsung?

Farhan: Saya tidak maklum tentang Samsung.

Shafee: Dari Blackberry?

Farhan: Saya melihat laporan itu.

Saksi memberi keterangan bahawa dia melihat laporan itu dan barang tersebut diberikan kepada SPRM pada bulan Ogos 2015, tetapi tidak menyimpan salinan laporan pengekstrakan kerana berkata dia tidak memerlukannya bagi siasatan yang dijalankannya.

Menjawab soalan oleh Muhammad Shafee, Farhan berkata dia percaya bahawa Suzarisman menyimpan laporan berkenaan.

Shafee kemudian bertanya kepada saksi sama ada dia tahu kenapa laporan itu belum sampai kepada pasukan pembelaan.

Shafee: Anda tahu mengapa laporan mengambil masa yang lama untuk diserahkan (kepada pasukan pembelaan)? Mengapa kami tidak terima sampai sekarang?

Farhan: Saya tidak tahu.

Shafee: Anda bersetuju laporan itu diperoleh daripada serbuan berkenaan. Itulah yang membuat saya keliru. Ia diperoleh pada tahun 2015. Adakah terdapat sebab kelewatan itu?

Bagaimanapun, tidak ada jawapan daripada Farhan, sebelum DPP Sithambaram mencelah.

Shafee kemudian bertanya kepada Farhan jika dia bersetuju bahawa kandungan Blackberry itu penting untuk disimpan.

Farhan mengeyakan.


11.50am - Peguam Harvinderjit dan Pegawai Bank Negara, Farhan berbalah mengenai sama ada saksi ke-4 itu mempunyai kuasa untuk menemu buat Najib berhubung dengan transaksi yang mencurigakan yang dilihat di dalam akaun bekas perdana menteri itu di Ambank Raja Chulan sehingga 2015.

Peguam itu meminta Farhan sama ada dia, yang berkhidmat di bawah Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Bank Negara, boleh menemu bual Najib mengenai urus niaga tersebut.

Transaksi yang mencurigakan itu ditemui oleh Bank Negara dalam serbuan pada 6 Julai 2015. Farhan terlibat dalam serbuan tersebut.

Bank itu kemudiannya didenda kerana tidak melaporkan transaksi yang disifatkan sebagai mencurigakan kepada bank pusat.

Harvinderjit: Anda boleh menemu bual pemegang akaun (Najib)?

Farhan: Tidak.

Apabila peguam merujuk kepada seksyen 14 dan 20 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) berhubung dengan kuasa pemeriksaan dan penyiasatan Bank Negara yang menurutnya sama dengan Farhan mempunyai kuasa untuk menemu bual Najib ke atas urus niaga, Farhan kemudian berkata:

"Kita bercakap mengenai pemeriksaan, bukan penyiasatan, wahai peguam yang bijaksana.

"Pemeriksaan dan penyiasatan adalah dua perkara yang berbeza," kata Farhan yang seterusnya mengundang ketawa daripada hadirin.

Farhan mengatakan bahawa dia hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat, bukan memeriksa Najib sebagai pemegang akaun.


11.10am - Pegawai Bank Negara Farhan mengatakan bahawa walaupun Ambank Raja Chulan telah melaporkan transaksi mencurigakan dalam akaun Najib kepada Bank Negara sebagai Laporan Transaksi Mencurigakan (STR), bekas perdana menteri tidak akan dimaklumkan tentang hal ini kerana ia sama dengan membocorkan maklumat kepada pemegang akaun.

Farhan berkata demikian ketika menjawab soalan pemeriksaan balas oleh Shafee, yang bertanya jika Ambank sudah melakukan tugas dalam menyerahkan STR ke bank pusat pada tahun 2015, maka Najib akan dimaklumkan.

Farhan memantau pasukan Bank Negara yang menyerbu Ambank Raja Chulan pada 6 Julai 2015, dan merampas beberapa dokumen bank, antaranya ialah akaun Najib.

Pada tahun itu, bank berkenaan didenda oleh Bank Negara kerana gagal menyerahkan laporan STR berhubung transaksi yang mencurigakan.

Shafee: Adakah anda bersetuju bahawa jika Ambank telah melakukan tugasnya dalam memfailkan STR, anak guam saya (Najib) telah dimaklumkan seawal tahun 2015 atau lebih awal mengenai transaksi yang mencurigakan?

Farhan: Saya tidak bersetuju kerana itu sama dengan membocorkan maklumat.

Shafee: Sekiranya Ambank telah memaklumkan (Bank Negara) mengenai urus niaga tersebut, dan mereka mendapat hukuman denda (oleh Bank Negara) maka kemungkinan siasatan Bank Negara atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain seperti SPRM atau polis perlu memanggil akaun pemegang (Najib) untuk menjelaskan transaksi yang mencurigakan ini?

Farhan: Saya tidak mempunyai komen kerana itu merupakan soalan kesimpulan.

Apabila Shafee menekan dengan soalan yang sama, Farhan ketawa yang seterusnya turut mengundang ketawa dari hadirin lain.


10.30am: Pegawai Bank Negara Ahmad Farhan Sharifuddin memberi keterangan bahawa selepas serbuan Bank Negara ke atas Ambank Raja Chulan pada 6 Julai 2015, bank itu didenda kerana gagal menghantar Laporan Transaksi Meragukan (STR) kepada bank pusat mengenai transaksi yang melibatkan akaun Najib.

Farhan, yang merupakan saksi keempat dipanggil semula hari ini untuk pemeriksaan balas oleh pasukan pembelaan.

Harvinderjit: Dalam siasatan anda, adakah bank itu didenda?

Farhan: Ya

Harvinderjit: Oleh kerana ia berkaitan langsung dengan siasatan anda, apakah pelanggaran itu (oleh cawangan Ambank Raja Chulan di Kuala Lumpur)?

Farhan: Ia adalah untuk kesalahan gagal mengemukakan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) ke atas akaun Datuk Seri (Najib).

Harvinderjit: Bagi urus niaga apakah itu?

Farhan: Saya tidak dapat menyatakan secara spesifik urus niaga itu.

Harvinderjit: Adakah untuk (urus niaga) sebelum atau selepas 2013?

Farhan: (Transaksi dari) Pembukaan hingga penutupan akaun. Semua transaksi (dalam tempoh itu).

Untuk rekod, Farhan terlibat dalam serbuan di Ambank pada 2015.


SRC International tak kemuka maklumat yang diperlukan, kata saksi

10.10am: Amirul Imran Ahmat memberi keterangan bahawa dalam pengalamannya sebagai pegawai KWAP, hanya SRC International yang gagal mengemukakan dokumen dan maklumat terperinci yang diperlukan oleh KWAP bagi permohonan pinjaman.

Amirul juga memberitahu pendakwa Ishak Mohd Yusoff bahawa tidak ada syarikat lain yang dikecualikan daripada mengemukakan maklumat berkenaan.

Ishak: Dalam pengalaman anda berkhidmat dengan KWAP, adakah terdapat syarikat lain yang tidak mengemukakan semua dokumen dan butiran maklumat seperti SRC, apabila mereka memohon (untuk pinjaman) dengan KWAP?

Amirul: Tidak

Ishak: Jika mereka tidak mengemukakan dokumen (dokumen), permohonan mereka tidak akan diluluskan?

Amirul: Ya

Semasa pemeriksaan balas, saksi pendakwaan ke-29 juga ditanya mengapa dia tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela Harvinderjit bahawa apa yang SRC buat dengan dana dari KWAP bukanlah urusan KWAP.

Amirul memberitahu mahkamah bahawa perjanjian aset antara KWAP dan SRC adalah "hanya kaedah syariah untuk memudahkan pematuhan syariah".

Dia memberi keterangan bahawa inilah sebabnya perjanjian itu dipanggil antara "pembiaya dan pelanggan".

Soalan yang diajukan Ishak adalah sebagai respons kepada soalan Harvinderjit hari ini kepada Amirul bahawa KWAP tidak perlu tahu apa yang dilakukan SRC dengan wang yang dipinjam kerana entiti itu mempunyai perjanjian berasaskan syariah di mana SRC menjual asetnya kepada KWAP untuk mendapatkan pinjaman.


Saksi tukar jawapan, kata peguam

9.30am: Harvinderjit terus menyoal Amirul, yang mencetuskan perbalahan seperti semalam.

Perdebatan terbaru hari ini adalah berhubung pinjaman RM2 bilion oleh KWAP kepada SRC International.

Harvinderjit: Jika dana dikeluarkan pada hari yang sama dan akaun menunjukkan pengkreditan dana, ia sangat sukar untuk ditentukan kecuali mereka mempunyai laporan audit forensik?

Amirul: Bukan tugas saya tetapi ia boleh dilakukan.

Harvinderjit: Ini boleh dilakukan melalui audit forensik?

Amirul: Salah satunya.

Perbalahan itu berterusan atas isu kelulusan kerajaan yang dikaitkan dengan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM2 bilion, ketika Harvinderjit memberitahu saksi bahawa dia telah mengubah jawapannya.

Harvinderjit: Semalam anda bersetuju. Sekarang anda menukar jawapan anda.

Amirul: Saya tidak bersetuju dengan kenyataan terdahulu.

Harvinderjit: Tidak mengapa kerana anda menukar jawapan anda.


9.10am: Najib dilihat memasuki ruang hadapan dan ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah mengambil tempat duduk di kerusi depan sementara hakim Nazlan melangkah masuk mahkamah untuk memulakan prosiding.


9.08am: Ahli pasukan pembelaan termasuk peguam Muhammad Shafee dan Harvinderjit Singh, mula mengisi tempat duduk.

Hakim Nazlan kemudian memasuki mahkamah dan memulakan pendengaran hari ini.


9.00am: Tampil dengan kot kelabu, Najib memasuki bilik mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan.

Bekas pegawai kanan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang juga merupakan saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat dilihat duduk di kandang saksi sambil menunggu untuk diperiksa balas oleh pasukan pembelaan Najib sebaik prosiding bermula.


8.52 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di hadapan dengan anggota pasukan pendakwaan yang lain sambil menunggu prosiding dimulakan.


Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


Pasukan pembelaan Najib Razak akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas pegawai Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada hari ke-15 perbicaraan bekas perdana menteri atas dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Peguam Harvinderjit Singh dijangka akan menyambung semula soal balasnya terhadap saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pukul 9 pagi ini.

Semalam, Amirul, yang merupakan naib presiden KWAP (Jabatan Pendapatan Tetap), memberi keterangan bahawa dia telah cuba menerhadkan pinjaman SRC International kepada RM1 bilion pada 2011 dari permohonan pinjaman asal berjumlah RM3.95 bilion.

Dia berkata pada tahun itu, dia ditugaskan oleh pihak atasannya untuk menyediakan dokumen berhubung pinjaman itu bagi dijadikan pertimbangan untuk panel pelaburan KWAP.

1MDB adalah syarikat induk SRC International pada masa itu. KWAP adalah dana pencen untuk penjawat awam.

Turut menjadi sebahagian daripada delegasi 1MDB pada masa itu ialah pengarah eksekutif kewangan Terrence Geh, peguam Jasmine Loo dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Semalam, pertengkaran kecil antara Harvinderjit dan Amirul, saksi berusia 39 tahun itu memberi keterangan bahawa panel pelaburan KWAP akan menolak permohonan SRC International untuk pinjaman RM3.95 bilion jika diberi pilihan.

Namun SRC International akhirnya telah mendapat pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP antara Ogos 2011 dan Mac 2012.

Amirul juga memberitahu mahkamah bahawa projek-projek yang dikatakan SRC International berhubung saluran paip hanya kelihatan bagus di atas kertas apabila dibentangkan oleh pengarah urusannya Nik Faisal dan pengarah eksekutif kewangan Geh.

Nik Faisal ketika ini masih lagi sedang dalam buruan pihak berkuasa Malaysia.

Lihat Komen
ADS