story image
mk-logo
Berita
Wan Saiful: Saya secara peribadi pun tak setuju
Diterbitkan:  May 17, 2019 2:19 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan menegaskan bahawa dia secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan mengembalikan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang gagal membayar hutang.

Dipetik Berita Harian, Wan Saiful menafikan cadangan berkenaan datang dari PTPTN.

Jelas Wan Saiful, cadangan itu adalah hasil perbincangan antara PTPTN dengan kumpulan tertentu dalam rundingan meja bulat sebelum ini.

"Kita (PTPTN) belum menyatakan keputusan sepenuhnya lagi kerana ia masih di peringkat rundingan, cuma rakyat tersalah faham seolah-olah PTPTN sudah bersedia untuk melaksanakannya berdasarkan laporan sebuah portal berita semalam.

“Rakyat perlu meneliti cadangan dan idea yang dikeluarkan PTPTN di laman sesawang dan jika tidak bersetuju, mereka boleh melontarkan pandangan pada ruangan yang disediakan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Dalam taklimat bersama media yang turut dihadiri Wan Saiful semalam, pentadbiran PTPTN memaklumkan bahawa pihak mereka sedang meneliti beberapa cadangan untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, ia termasuklah cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.

Mastura juga menambah bahawa sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.

Dalam laporan sama Berita Harian, Wan Saiful juga dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya membincangkan setiap cadangan secara umum agar semua pihak mengetahui perkara yang dibincangkan antara PTPTN bersama beberapa kumpulan profesional sebelum ini dalam merangka Kertas Konsultasi Rakyat.

“Saya juga tidak pernah menyatakan persetujuan agar cadangan itu (sekatan ke luar negara) dilaksanakan kerana mengetahui ia hanya cadangan daripada sebahagian kumpulan profesional dalam rundingan meja bulat sebelum ini,” katanya.

Wan Saiful meminta agar semua pihak termasuk parti politik tidak gopoh menuding jari kepada PTPTN mengenai cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan berkenaan.

Dalam manifesto sebelum PRU ke-14, PH berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Pada Jun tahun lalu, sebanyak 265,149 nama daripada 433,708 peminjam PTPTN telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, peminjam bergaji RM4,000 ke bawah masih perlu membayar pinjaman seperti biasa kerana kedudukan kewangan negara dikatakan belum kukuh.

Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS