Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sanggup Nazri jadi penasihat BN kritik PH, soal Najib
Diterbitkan:  Jul 14, 2019 6:24 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Sesiapa pun boleh memainkan peranan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN namun orang itu mesti sanggup mengkritik kerajaan PH secara konsisten selain mendapat sokongan daripada MCA dan MIC, jelas bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas presiden Umno juga dipetik Sinar Harian berkata MP Padang Rengas Nazri Aziz sebelum ini telah diminta MCA dan MIC untuk melepaskan jawatan setiausaha agung BN.

"Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz atau sesiapa sahaja memang boleh main peranan sebagai Penasihat BN tapi adakah beliau sanggup kritik kerajaan PH secara konsisten?

"Kita juga sedia maklum beliau sebelum ini telah diminta oleh MCA dan MIC melepaskan jawatan dia sebagai Setiausaha Agung BN," katanya.

Najib ditemui wartawan pada Program Santai Petang Bersama Bossku di Batu Kawan, Pulau Pinang petang tadi.

Sementara itu, Astro Awani melaporkan Najib dipetik berkata persetujuannya menggalas amanah kepimpinan BN bukan bertujuan menjadikan jawatan itu sebagai batu loncatan supaya dirinya dapat kembali menjadi perdana menteri.

"Saya nak nyatakan bahawa jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat ini bukanlah loncatan untuk menjadi PM. 

"Ia berperanan untuk mengukuhkan parti... bagaimana untuk mengukuhkan Barisan Nasional dan parti komponen.

"Inilah semangat yang harus kita ada daripada kita mengkritik antara satu sama lain. Sesiapa yang boleh bagi sumbangan dan nilai tambah, dipersilakan," katanya.

Terdahulu hari ini, Anggota Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata Najib Razak telah meminta untuk menjadi pengerusi BN semula dan bukannya pengerusi lembaga penasihat BN.

Nazri mendakwa, bekas presiden Umno itu mahu mengambil kesempatan apabila menyedari BN boleh menang kembali hasil kerjasama Umno dan PAS selepas PRU14.

"Saya tahu jawatan yang dipohon sebenarnya pengerusi BN, bukan pengerusi lembaga penasihat (BN), bila dia (Najib) lihat masa depan kita cerah dengan PAS.

"Mahu jadi PM (perdana menteri) lagi ke? Bagilah peluang kepada anak-anak muda, pimpinan baru, cukuplah," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Dalam ucapannya hari ini, Nazri mengaku terkejut apabila mengetahui jawatan itu diwujudkan dan seterusnya diberikan kepada Najib.

Nazri juga merayu sekiranya Najib sayangkan Umno untuk memberi peluang kepada kepemimpinan baru menguruskan parti itu.

Mengulas kritikan pemimpin Umno itu kepadanya, Najib menjelaskan malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sendiri berkata pelantikannya sebagai penasihat BN tidak akan menjejaskan kerjasama antara Umno dan PAS.

Najib juga dipetik berkata MP Padang Rengas itu menolak kerjasama Umno dengan PAS sebelum ini.

Kata Najib lagi, MCA memaklumkan kepadanya kritikan melampau Nazri terhadap hartawan Robert Kuok juga menyebabkan undi masyarakat Cina merosot pada PRU14 lalu.

"Kita masih ingat lagi Nazri sebelum ini pernah menolak kerjasama dengan PAS ini tidak lama dahulu sebaliknya dia menggesa Umno untuk bekerjasama dengan DAP dan ketepikan MCA dan MIC.

"Kalau nak sebut soal pilihan raya pula, MCA sebelum ini memaklumkan kepada saya antara sebab undi Cina merosot kerana kritikan keterlaluan beliau terhadap Robert Kuok sehingga menyebabkan orang Cina tersinggung dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau," katanya.

Lihat Komen
ADS