Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Slim, akaun Facebook diadukan ke polis
Diterbitkan:  Jul 29, 2019 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini membuat laporan polis terhadap Adun Slim, Mohd Khusairi Abdul Talib, serta laman Facebook menggunakan nama MyNewsHub kerana didakwa memfitnah Dr Mujahid Yusof.

Laporan polis itu dibuat oleh setiausaha akhbar Mujahid, Zulaikha Zulkifli, di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Laporan polis itu dibuat ekoran penyalahgunaan gambar dan nama menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Zulaikha poster yang dimuat naik wakil rakyat Umno itu memaparkan imej Mujahid dan diiringi kata-kata: “Wendy Loong hina nabi adalah kes terpencil. Orang Islam jangan terasa hati - Mujahid”.

Selain itu, katanya, Mohd Khusairi turut memuat naik poster sama dengan menulis status di Facebook beliau dengan tulisan berbaur perkauman dan hasutan iaitu: “Selepas ini sesiapa saja individu boleh hina apa saja agama, kerana perbuatan itu sudah diklasifikasikan oleh menteri agama sebagai kes terpencil dan tidak perlu diambil sebarang tindakan. Jangan ada mana-mana pihak terasa hati."

Menurut Zulaikha, Mujahid tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian.

Katanya anggota parlimen Parit Buntar itu mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW atau Islam.

"Mujahid juga sudah merujuk perkara ini kepada peguamnya untuk tindakan lanjut di mahkamah," katanya.

Zulaikha menambah orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya menulis sesuatu perkara yang tidak disahkan kebenarannya, sebaliknya menjadi rakyat lebih bertanggungjawab.

Lihat Komen
ADS