Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'gor bergolak gara-gara usaha pinda enakmen tukar agama?

Timbul cakap-cakap berkenaan kemelut politik di Selangor berhubung cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Isu itu tampak menjadikan kedudukan Amirudin Shari sebagai menteri besar semakin terancam, selepas sebelum ini mencetuskan rasa tidak puas hati kepimpinan PKR ekoran kenyataannya berkenaan video skandal seks.

Cadangan pindaan itu menuju jalan buntu apabila Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu.

Sidang DUN pada asalnya dijadual berlangsung daripada 29 Julai hingga 9 Ogos.

Sumber memberitahu Malaysiakini yang Ng enggan menandatangani dokumen yang akan membenarkan rang undang-undang (RUU) pindaan enakmen itu diberi keutamaan, justeru menghentikan pembentangan pindaan tersebut.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".

Versi Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat keputusan bahawa perlembagaan tidak harus ditafsirkan secara harfiah dan keputusan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak.

Selepas Ng menamatkan sidang, Amirudin dikatakan mengadakan pertemuan dengan adun PKR yang beragama Islam serta seorang adun Bersatu untuk membincangkan perkara itu.

Amirudin Shari 

Sumber memberitahu Malaysiakini, antara isu yang dibincangkan ialah kemungkinan untuk menggantikan speaker.

Bagaimanapun adun PKR Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) dan Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang) menafikan perkara itu.

Juwairiya mendakwa pertemuan itu ialah untuk mendengar taklimat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkenaan dasar baru di beberapa kawasan di negeri itu.

Juwairiya Zulkifli 

Azmizam pula menyifatkan dakwaan untuk menyingkirkan speaker sebagai propaganda.

Adun bantah pindaan, gesa MB mengadap Sultan

Tiga hari sebelum sidang, iaitu pada 26 Julai, Amirudin mengadakan perbincangan dengan semua adun Pakatan Harapan (PH) merangkumi 21 orang dari PKR, DAP (16) dan Amanah (8).

Seorang adun PKR yang hadir ke perbincangan itu, memberitahu Malaysiakini yang menteri besar membentangkan cadangan pindaan itu tetapi majoriti adun yang hadir membantahnya.

Memandangkan cadangan pindaan itu tidak dipersetujui ketika mesyuarat exco, katanya lagi, Amirudin cuba mendapatkan sokongan daripada Adun.

Sultan Selangor

 

"Tetapi hampir semua (adun) bantah. PKR dan Amanah juga berbelah bahagi.

"Kerisauannya ialah jika pindaan dibentang, ia akan memberi kesan negatif kepada kerajaan negeri. Jadi kami minta menteri besar mengadap sultan untuk menjelaskan perkara ini.

"Menteri besar beritahu kami perkara itu dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan keputusan telah dibuat. Dia juga kata 'kita perlukannya untuk undi Melayu'," katanya lagi.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas sama ada langkah speaker untuk menamatkan sidang DUN ada kaitan dengan pindaan itu.

Difahamkan Amirudin juga berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idis Shah juga mahu pindaan itu diluluskan, dan ia bermakna langkah Ng telah meletakkan Amirudin dalam kedudukan yang sukar.

Bukan pertama kali sidang dipendekkan

Ketika dihubungi, Ng enggan mengulas berkenaan dakwaan ini.

"Sidang dipendekkan kerana tiada penyertaan aktif oleh adun ketika perbahasan. Jadi selepas kita selesaikan agenda, saya tangguhkan sidang berdasarkan aturan mesyuarat.

"Ini perkara biasa. Ada juga sidang dua hari sebelum ini. Misalnya pada 2016 dan 2017 ketika Hannah Yeoh jadi speaker," katanya kepada Malaysiakini.

 Ng Suee Lim 

Dua Adun Amanah yang enggan mendedahkan nama, memberitahu Malaysiakini yang mereka tidak mendengar sebarang usaha untuk menyingkirkan speaker.

Berkenaan cadangan pindaan itu pula, kedua-duanya ragu-ragu tentangnya dan salah seorangnya berkata ia boleh membawa kepada satu lagi keadaan seperti kes M Indira Gandhi.

"Kena tengok bagaimana undang-undang di peringkat persekutuan. Tetapi kita juga perlu ingat kuasa berkenaan agama Islam di negeri terletak pada Tuanku (Sultan Sharafuddin)," kata salah seorang Adun itu.

Seorang Adun lagi pula berkata setiap kali ada kes penceraian yang melibatkan penukaran agama kepada Islam, ia akan menyebabkan kemelut yang mencemarkan imej agama.

"Kita tak boleh melihat isu ini secara mikro, tetapi melalui perspektif makro (melalui) sistem ilmu maqasid syariah," katanya.

Plot singkir MB?

Sementara itu, timbul juga spekulasi berkenaan dakwaan komplot untuk menyingkirkan Amirudin - pemimpin PKR yang menyokong Mohamed Azmin Ali.

Menurut sumber, ia berkaitan dengan kenyataannya berhubung dalang video seks yang mengaitkan timbalan presiden PKR itu.

Dua Adun Amanah mendakwa ada mendengar rancangan itu, tetapi memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak pernah didekati mana-mana pihak - sama ada untuk menentang MB, ataupun menyokongnya.

Adun PKR pula mendakwa tidak tahu-menahu berkenaan komplot itu.

"Saya diberitahu oleh mereka yang dekat dengan Anwar yang Amirudin ada menghantar pesanan teks kepada Anwar dan meminta maaf atas kenyataannya.

“Anwar memintanya membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi dia belum berbuat demikian," katanya.

Juwairiya pula berkata ada persepsi bahawa memang wujud usaha untuk menyingkirkan menteri besar tetapi "kami tidak tahu siapa yang memulakannya".

Selain PKR, DAP dan Amanah, Bersatu memiliki lima wakil di DUN, manakala Umno (5) dan PAS (1).

Malaysiakini telah menghubungi Amirudin untuk mengulas berkenaan cadangan pindaan anekmen dan juga dakwaan komplot terhadapnya.

Malaysiakini juga telah menghubungi pihak istana Selangor untuk maklum balas berkenaan isu ini.


Laporan oleh Annabelle Lee, Lee Way Loon, Lu Wei Hoong, Ramieza Wahid, Yasmin Ramlan dan Zikri Kamarulzaman.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS