Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EAIC harus kekal lepas IPCMC ditubuhkan, kata NGO
Diterbitkan:  Aug 11, 2019 11:26 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak seharusnya dibubarkan apabila Suruhanjaya Bebas Aduan Salah laku (IPCMC) ditubuhkan, kata kumpulan hak asasi manusia terhadap Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet).

Penyelarasnya Charles Hector Fernandez berkata masih ada keperluan untuk sebuah badan pemantau yang memantau agensi penguat kuasa lain selain pasukan polis.

"Walaupun IPCMC yang akan datang ditubuhkan menangani aduan terhadap anggota polis, EAIC kini menangani aduan terhadap hampir semua agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Imigresen, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar.

"Satu kajian tentang statistik aduan yang diterima menunjukkan bahawa aduan telah diterima mengenai banyak agensi lain selain polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fernandez merujuk kepada Rang Undang-Undang IPCMC 2019, yang dibentangkan di Dewan Rakyat bulan lepas dan akan dibahaskan pada sesi berikutnya pada Oktober.

Rang undang-undang itu menetapkan bahawa EAIC akan dibubarkan apabila IPCMC ditubuhkan dan semua aset EAIC akan dipindahkan ke IPCMC.

Fernandez berkata terdapat banyak aduan mengenai agensi lain di bawah EAIC maka ia perlu dikekalkan dan fungsinya dipertingkatkan.

"Madpet berpandangan EAIC sangat diperlukan, dan kuasanya juga harus diperluas untuk pendakwaan.

"Skop agensi yang diliputi oleh EAIC juga perlu dilanjutkan, termasuk juga meliputi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Penjara dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

IPCMC mula dicadangkan pada 2005 oleh Suruhanjaya Diraja Bagi Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Bagaimanapun, EAIC, yang boleh menyiasat dan memberi cadangan tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pegawai agensi penguat kuasa yang tidak bertanggungjawab, diperkenalkan selepas bantahan keras oleh kepimpinan polis pada masa itu.

Kini, di bawah teraju Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, polis lebih menerima cadangan penubuhan IPCMC dengan syarat kebajikan anggota polis diperbaiki.

Rang undang-undang IPCMC, jika diluluskan, tidak hanya membenarkan suruhanjaya untuk menyiasat pasukan polis tetapi juga mengambil tindakan tatatertib, termasuk pemecatan.

Fernandez berkata walaupun kuasa mengambil tindakan disiplin itu baru, IPCMC juga perlu diberi kuasa pendakwaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong sebelum ini berkata bahawa kerajaan sedang melibatkan pihak berkepentingan berhubung IPCMC menjelang perdebatan di parlimen pada Oktober.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS