Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Cadangan agar tiada lagi perang poster mulai PRU15
Diterbitkan:  Aug 16, 2019 11:42 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan agar tiada lagi perang poster pada pilihan raya akan datang, kerana ia dilihat sebagai satu pembaziran.

Pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Abdul Rahman berkata pihak jawatankuasa tersebut akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), untuk penelitian lanjut.

"Perang poster ini terlebih buat. Kami akan cadangkan tiada lagi peperangan atau perang poster (dalam pilihan raya), tapi mungkin akan ada pengecualian (untuk kawasan tertentu seperti pendalaman) kerana pengundi mahu kenal calon.

"Perang poster ini banyak masalah, di mana nak letak, perbelanjaan besar. Negara maju ada yang letak satu atau dua di tiap kawasan.

“Kita akan kaji secara mendalam," katanya kepada pemberita selepas Program Libat Urus Terbuka Pembaharuan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya peringkat negeri Perak di Ipoh, semalam, yang dihadiri kira-kira 200 orang termasuk penjawat awam dan parti politik.

ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 dan diberi tempoh dua tahun, untuk mengemukakan laporan lengkap mengandungi cadangan-cadangan refomasi pilihan raya termasuk sistem, proses dan pindaan undang-undang.

Menjelas lanjut, Ab Rashid (foto, bawah) berkata ERC juga akan mencadangkan agar undi pos bagi pengundi luar negara, dikendalikan sepenuhnya di negara terlibat oleh perwakilan bertanggungjawab, termasuk pengiraan kertas undi bagi memastikan mereka yang layak tidak terlepas peluang mengundi.

"Kita akan cadangkan agar undi pos itu tidak lagi dihantar balik ke sini (Malaysia). Perwakilan di sana yang uruskan hal ehwal pengundian, mereka yang edar kertas undi, kumpul kertas undi dan kira di sana," katanya.

Selain itu, katanya pihak jawatankuasa juga sedang mengkaji kaedah terbaik, bagi memudahkan urusan memfailkan petisyen keputusan pilihan raya, agar ia dapat didengar di mahkamah.

"Sekarang banyak petisyen ditolak di peringkat bawah kerana masalah teknikal, maka undang-undang perlu diubah suai, supaya menyenangkan semua pihak.

"Cadangan lain termasuk keperluan memberi pendedahan mengenai cara-cara pengundian bermula di peringkat sekolah, misalnya ada negara yang pelajar bila hendak memilih sukan buat undian, maka pelajar tahu hak dan kuasa mengundi mereka," katanya.

Ab Rashid berkata usaha itu perlu dimulakan dari peringkat awal, dan bukan hanya apabila seseorang mencecah usia 18 tahun, kerana golongan muda merupakan pengundi terbesar dalam negara yang perlu dilatih untuk berfikir secara positif, serta matang dalam membuat keputusan.

Tambah Ab Rashid, ERC akan mengemukan laporan awal hujung tahun ini kepada kerajaan, manakala laporan khusus dijangka pada September tahun hadapan.

Ditanya jika cadangan-cadangan oleh ERC dapat diterima pakai pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 akan datang, Ab Rashid berkata ia agak mustahil, memandangkan banyak perkara termasuk dari segi perundangan yang sedang ditambah baik oleh SPR sekarang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS