Malaysiakini
BERITA

‘Nik Abduh alim ulama juga, ambo ustaz kampung’

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Ogs 2019, 5:29 pagi

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz memilih pendekatan harmoni ketika diminta mengulas kenyataan adiknya Nik Mohamad Abduh berhubung isu Dr Zakir Naik.

Sambil berseloroh Nik Omar berkata, beliau menghormati kenyataan Nik Abduh, yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, dan menyifatkan anggota Parlimen Bachok itu seorang alim ulama.

"Secara mudahnya kita hormat kenyataan dia sebab dia pun orang alim ulama juga, ambo (saya) ini ustaz kampung.

“Kalau tanya ambo tentunya jawapan atau cara nak tangani satu-satu isu berbeza antara pembangkang dan pihak kerajaan.

"Mentaliti secara umum rakyat Malaysia, apabila sebut pembangkang, apa saja yang dibuat oleh kerajaan kita bangkang. Dan mentaliti umum juga sebuah kerajaan, apa yang pembangkang kata semua salah belaka," katanya.

 Nik Mohamad Abduh Nik Aziz 

Nik Omar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang peserta pada forum “Islam Terancam: Apa peranan kita?” anjuran Yadim di Kota Bharu, semalam.

Peserta tersebut bertanya pendapat Nik Omar mengenai kenyataan Nik Abduh yang menegaskan hanya umat Islam yang munafik sahaja yang bersetuju menghalau Zakir dari Malaysia.

Terdahulu, Nik Abduh antara lain berkata, mana-mana golongan bukan Islam yang mahu menghalau Zakir adalah musuh agama itu.

Kenyataannya itu dipercayai dibuat sebagai respons kepada reaksi kurang senang pelbagai pihak terhadap kenyataan pendakwah dari India itu pada syarahan di Kelantan, Khamis lalu.

Dalam program tersebut, Zakir Naik dilaporkan berkata, pihak yang mahu dia keluar dari Malaysia, haruslah meminta “tetamu lama” pulang terlebih dahulu - yang dirujuknya kepada kaum Cina di negara ini.

Zakir juga berkata penganut Hindi di negara ini lebih setia kepada perdana menteri India berbanding perdana menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun Zakir berkata, ucapannya disalah petik.

Susulan itu beberapa personaliti politik menyelar kenyataan Zakir Naik antaranya Rafidah Aziz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Lim Kit Siang, Dr Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran.

Perbesar isu

Sementara itu mengulas lanjut kepada Malaysiakini, Nik Omar mengakui kenyataan Nik Abduh itu ada kebenaran sekiranya pengusiran ke atas Zakir dibuat kerana tidak suka terhadap Islam.

"Jika kenyataan (usir) itu keluar secara jelas kerana tidak suka kepada Islam itu mungkin ada kebenarannya (munafik).

"Tetapi kalau ada kenyataan yang minta - dalam situasi sekarang ini Zakir Naik lebih baik keluar dari Malaysia, kita kena tengok punca dan sebab apa boleh berlaku (kenyataan supaya usir).

"Antara puncanya adalah kelemahan sesama kita juga. Kita memperbesarkan isu yang sepatutnya dibincang secara lebih harmoni, itu lebih baik," katanya.

Zakir dalam acara di Kelantan mingu lepas

Tambah Nik Omar, semua pihak sepatutnya menerima kenyataan pimpinan negara sebelum ini bahawa Zakir adalah tetamu dan Malaysia telah beri perlindungan.

Malah katanya, apa yang kerajaan lakukan sekarang ini juga ialah memenuhi tuntutan hak asasi manusia.

"Sekarang ini kita tahu dia dianiaya, dituduh dengan pertuduhan tanpa bukti yang jelas. Jadi kerajaan Malaysia berjiwa besar menjadikan dia sebagai tetamu negara.

"Walaupun ada kenyataan dan permintaan individu dalam kerajaan, itu kita hormat juga sebagai kebebasan dalam demokrasi. Tetapi kenyataan supaya minta Zakir Naik keluar itu kita tak setuju. Masalahnya macam mana cara kita urus yang tidak setuju itu.

"Yang terbaik bukannya dengan keluarkan kenyataan yang keruhkan suasana, tetapi kita kena kembali kepada meja rundingan. Bagaimana cara terbaik, itu sebenarnya kita nak wujudkan dan memang sehingga sekarang ini kerajaan Malaysia melalui perdana menteri acap kali menegaskan bahawa Zakir Naik adalah tetamu dan kita harap ia diselesaikan dengan baik.

"Kita kena yakin sesiapa yang tolong orang lain Allah akan bantu kita. Sama ada kita adalah individu atau sebuah kerajaan. Sebab ada unsur keberkatan dan rezeki itu kita kena yakin akan melimpah ruah. Kalau Malaysia boleh jaga tetamu termasuk Zakir Naik, itu rezeki Malaysia - kita kena yakin," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.