Malaysiakini
BERITA

Parang untuk si kafir: Polis tahan lelaki di Cheras

Diterbitkan

Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan polis untuk disiasat berhubung hantaran di media sosial yang dibimbangi boleh menggugat keamanan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Roslan Bek Ahmad, berkata lelaki terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daedah Cheras kira-kira jam 3 petang tadi.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada 20 Ogos (esok)," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Roslan melalui siasatan awal suspek terbabit mendakwa akaun Facebooknya digodam pihak tertentu.

"Polis memandang serius isu ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Menurut Roslan siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan yang dibuat seorang ahli politik berusia 49 tahun pada 16 Ogos lalu.

Katanya aduan berkenaan dibuat selepas pengadu terbaca laporan berita bertajuk "Jakim siasat FB pegawai didakwa saran sedia parang untuk si kafir" yang disiarkan portal Free Malaysia Today (FMT).

"Laporan polis dibuat kerana pengadu berasa bimbang perkara tersebut boleh menganggu gugat ketenteraman awam dan keamanan negara," katanya.

Pada masa sama Roslan menasihati orang ramai agar tidak membuat kenyataan berbaur perkauman kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.