Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan Zakir dilarang sampaikan ceramah awam
Diterbitkan:  Aug 20, 2019 9:45 AM
Dikemaskini: 1:45 AM

Polis mengharamkan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik daripada menyampaikan ceramah awam di negara ini atas faktor keselamatan.

Memetik laporan Malay Mail, perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asmawati Ahmad.

"Ya, perkara (larangan) itu telah disampaikan kepada semua kontinjen polis, dan ini dilakukan demi kepentingan keselamatan negara dan untuk memelihara keharmonian kaum," katanya kepada akhbar itu malam tadi.

Semalam, Zakir sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman bagi merakam keterangannya berhubung ucapan berbaur perkauman dalam satu program di Kelantan, baru-baru ini.

Ahad lalu, media melaporkan Melaka antara enam negeri yang mengenakan larangan ceramah terhadap Zakir selepas Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sarawak dan Johor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ahad lalu juga turut menyifatkan kenyataan Zakir sebagai melanggar peraturan apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Zakir kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan selepas 115 aduan awam dibuat terhadapnya.

Lihat Komen
ADS