Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyata Razak kian malap, kita dibakar api perkauman

ULASAN | Setahun sebelum kemerdekaan Tun Razak melalui Penyata Razak 1956 menyatakan:

“...tujuan dasar pelajaran hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar,walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.” (Federation of Malaya 1956: Perenggan 12)

Laporan Penyata Razak 1956 ialah kesinambungan dari Laporan Penyata Fen-Yu (1951) yang menolak cadangan pendidikan satu aliran yang dicadangkan dari Laporan Barnes 1950.

Justifikasi cadangan pihak kolonial dengan Laporan Barnes ialah untuk mengekang pengaruh Komunis di sekolah-sekolah vernakular terutama sekolah-sekolah Cina dan usaha mewujudkan pendidikan monolingualisme.

Penyata Razak menjadi paksi kepada dasar pendidikan hari ini sehingga ia menjadi Akta Pelajaran 1957.

Namun harus diingat ketika Laporan Barnes dibentangkan pada tahun 1950 dan ia ditolak oleh pejuang tegar pendidikan Cina sehingga tertubuhnya Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Se-Malaya (Jiao Zong).

Pelaksanaan cadangan Ordinan Pelajaran 1952 dan Kertas Putih 1954 pula melahirkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Se-Malaya (Dong Zong).

Di sinilah cabaran besar untuk merealisasikan apa yang diungkapkan oleh Tun Razak melalui Penyata Razak 1956.

Laporan Razak 1956 menggariskan beberapa perkara penting kepada dasar pendidikan kita iaitu penyatuan semua kaum menggunakan satu kurikulum kebangsaan dan meletakkan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Inilah inti pati utama dan dasar yang harus difahami dan dimengerti oleh semua pihak tidak kira apa bangsa, warna kulit, agama dan ras.

Kita mesti disatukan dalam satu sistem dan menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar teras di semua sistem persekolahan.

Namun persoalan yang masih terngiang-ngiang di benak fikiran kita, setelah kita melewati tempoh 62 tahun kemerdekaan sudahkan kita mencapai hasrat seperti yang diimpikan dari Penyata Razak 1956.

Kita masih mengekalkan sistem pendidikan vernakular yang mengakibatkan perpaduan dan keharmonian kita rapuh.

Polarisasi kaum

Kita dibesarkan dalam sistem pendidikan yang membentuk semangat prejudis dan rasis sejak di usia kecil lagi ketika dibangku sekolah rendah bahkan di peringkat prasekolah (tadika) lagi.

Keadaan ini mewujudkan polarisasi kaum dan mengheret kepada ketegangan kaum sepertimana yang terjadi dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Matlamat kesatuan bangsa dan perpaduan kaum yang diimpikan dari Penyata Razak 1956 kian malap dan kita dibakar dengan sentimen api perkauman yang menebal dek kerana semua pihak memikirkan kepentingan sendiri dan menjaga tembolok politik masing-masing.

Isu bahasa Melayu yang menjadi teras utama bahasa pengantar sering menjadi polemik di kalangan aktivis pendidikan cina sejak tahun 1950.

Tindakan mereka yang mempertikaikan usaha memupuk perpaduan melalui satu bahasa yang tunggal telah merencatkan hasrat penyata Tun Razak.

Isu pengktiran UEC dan kes pelaksanaan tulisan Jawi dalam buku teks tahun 4 di SJK(C) dan SJK(T) adalah bukti penentangan konsisten kelompok ini terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa “bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”.

Penentangan ini adalah lanjutan siri-siri penentangan sebelum ini seperti pelaksanaan Skim 3M, penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perhimpunan Sekolah dan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Sedangkan pihak kerajaan telah memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Penyata Rahman Talib pada tahun 1960.

Amat menyedihkan setelah kita mencapai kemerdekaan ke-62 tahun, masih terdapat generasi muda daripada kaum Cina tidak tahu dan fasih berbahasa Melayu.

Akibatnya generasi ini akan sentiasa berkonfrantasi dan menidakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sudah tiba masanya kita kembali kepada asas yang digariskan oleh Penyata Razak 1956 untuk mewujudkan sekolah satu aliran yang menggunakan satu kurikulum dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tanpa menolak kepentingan mempelajari bahasa-bahasa lain.

Ramai cerdik pandai kita termasuk pemikir dari kalangan bukan Melayu menyuarakan hasrat ini seperti Profesor Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, tokoh sejarah mendiang Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, Tan Sri Ghafar Mahmud bekas KPPM dan Mufti Perak Harussani Zakaria.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar pernah menyatakan bahawa keharmonian kaum di negara ini perlu bermula seawal sekolah lagi dan sekolah satu aliran ini mampu menjamin pertumbuhan ekonomi melalui perpaduan kaum yang lebih kukuh dan menyakinkan.

SMK Victoria, MTB Sungai Besi model terbaik

Antara model terbaik sekolah satu aliran ialah SMK Victoria dan Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi.

Sekolah seperti ini mempunyai pelajar pelbagai kaum dan mereka diajar cara memahami dan menghormati budaya dan adat masing-masing menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengajaran dan pembelajaran tanpa mengenepikan bahasa-bahasa lain.

Antara kritikan keras Prof Dr Teo Kok Seong berhubung kegagalan kita memupuk perpaduan melalui wadah pendidikan ialah tiada keberanian politik di kalangan pemimpin kita.

Pemimpin politik kita perlu berjiwa besar untuk mengatasi persoalan ini jika kita mahu memerdekakan pendidikan kita.

Ambillah kejayaan negara Indonesia dan Singapura yang berjaya membina perpaduan bangsa melalui sekolah satu aliran.

Semuanya ini perlukan iltizam politik dari semua pihak untuk melihat kemajuan negara dan generasi akan datang.

Di Malaysia, kita tidak melihat semangat kebangsaan dan patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat.

Walaupun kita sudah 62 tahun merdeka, bahasa Melayu masih terpinggir di kalangan rakyat Malaysia dan perpaduan kita renggang.

Apa makna kemerdekaan jika kedaulatan bahasa kebangsaan dipinggirkan?

Apa makna kemerdekaan jika perpaduan dikesampingkan dan apa makna kemerdekaan jika keluhuran perlembagaan diketepikan?

Inilah masalah pokok kita bersama yang belum diselesaikan.

Ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen Ke-48 Politeknik Ungku Omar, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah bertitah:

“Anak muda hendaklah memahami dan menghayati pentingnya faktor perpaduan dan pentingnya setiap kaum menghargai serta menghormati kehadiran masing-masing.

“Adalah penting mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan,menidakkan hak sesuatu kaum atau melanggar perkara-perkara asas yang telah dipersetujui semasa penggubalan perlembagaan merdeka.”

Semua pihak perlu akur dengan saranan dan nasihat titah diraja Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kita perlu kembali menghayati semangat dan roh Penyata Razak jika kita mahu mewujudkan perpaduan melalui wadah pendidikan.

Sampai detik ini dan menjelang 31 Ogos nanti, merdekakah pendidikan kita. Tepuk dada tanyalah hati nurani kita dan berfikirlah dengan akal dan jiwa yang merdeka.


MOHD AZIZEE HASAN ialah presiden i-Guru.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS