Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benar bekas CEO Iksim tangguh bayar ganti rugi Khalid Samad

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Profesor Mahamad Naser Disa menangguhkan pelaksanaan bayaran ganti rugi berjumlah RM80,000 kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, yang menang saman fitnah difailkannya terhadap bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail membuat keputusan itu dalam kamarnya yang dihadiri peguam Mohd Faizal Abdullah mewakili Khalid, dan Effa Azwin Idrul Hisham bertindak bagi pihak Mahamad Naser.

Mahamad Naser memfailkan penangguhan pelaksanaan pembayaran tersebut pada 29 Julai lepas.

Pada 17 Julai lalu, Rohani memerintahkan Mahamad Naser membayar ganti rugi berjumlah RM80,000 kepada Khalid, yang memenangi saman fitnah berhubung isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Rohani membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Khalid terhadap Mahamad Naser selaku defendan tunggal dalam saman tersebut, setelah mendapati tiada keterangan yang menunjukkan Khalid mengeluarkan kenyataan yang menentang RUU 355.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan daripada dua saksi iaitu plaintif dan defendan sendiri.

Pada 30 Mei 2018, mahkamah itu menolak permohonan Mahamad Naser untuk membatalkan saman Khalid, selepas mendapati ada isu yang perlu dibicarakan dalam kes saman tersebut.

Mahamad Naser memohon untuk membatalkan saman berkenaan pada 30 Jan 2018 atas alasan saman itu menyalah guna proses mahkamah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan kerana dijadikan platform bagi meraih ‘political mileage’ (janji atau gimik politik) berhubung isu RUU 355.

Pada Disember 2017, Khalid menyaman Mahamad Naser selepas mendakwa defendan telah menyentuh isu RUU 355 dalam satu seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kira-kira pukul 9.50 pagi, 28 Sept 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Khalid mendakwa Mahamad Naser di dalam ceramah bertajuk `Wacana isu semasa dan perundangan peringkat negeri Selangor: Doktrin: Cabaran dan Perlembagaan’, telah membuat pernyataan antaranya menggambarkan plaintif menentang sekeras-kerasnya RUU 355, menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hudud dan menentang usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Plaintif mendakwa pernyataan itu dibuat dengan berniat jahat sehingga menyebabkan reputasinya sebagai anggota parlimen Shah Alam tercemar.

Khalid menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan selain menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf.

-Bernama

Lihat Komen
ADS