Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Boikot produk bukan Islam akan rosak ekonomi negara - Menteri
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 8:29 AM
Dikemaskini: 12:29 AM

Gerakan memboikot produk keluaran bukan Islam akan merosakkan ekonomi negara sekali gus membawa permusuhan antara rakyat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata walau pun pengguna Islam perlu mencari makanan halal, namun, kempen memboikot produk bukan Islam bukan jalan terbaik.

"Baru-baru ini ada kempen yang cuba dibuat oleh pihak-pihak supaya memboikot barang-barang bukan Islam.

"Saya ingin beritahu pada malam ini, bahawa orang Islam memang perlukan barangan makanan halal tetapi kita tidak boleh boikot (barangan bukan Islam).

"Itu tindakan salah… tidak boleh," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Perayaan Kuih Bulan 2019 anjuran Persatuan Kebudayaan Qiong Min Khek Chow Yek Johor Bahru, di ibu negeri Johor malam tadi.

Mutakhir ini terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Islam dan membeli produk keluaran Islam.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Pulai berkata pengguna Islam tidak sepatutnya berfikiran sedemikian dan perlu membayangkan kesan boikot tersebut kepada negara dan rakyat.

"Saya sebagai menteri (Pertanian dan Industri Asas Tani) sentiasa menggalakkan rakyat menanam buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Ada orang Cina tanam durian, ada orang Melayu tanam durian. Ada orang India tanam sayur dan ada orang India buat kebun besar, ternak lembu dan kambing.

"Cuba bayangkan kalau kita (orang Melayu) setuju boikot, macam mana kalau kita tanam durian, orang Cina tidak beli, macam mana kalau nelayan kita tangkap ikan tetapi orang India tidak beli… apa akan terjadi kepada negara kita," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS