Malaysiakini
BERITA

Timb menteri: Royalti Kelantan akan dibayar bila tiba masa

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Sep 2019, 7:37 pagi

Bayaran royalti petroleum kepada negeri Kelantan akan dibuat apabila tiba masa dan ketikanya, kata Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bertanggungjawab menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negara dan jika ada keputusan ia akan dilaksanakan.

"Kita di MOF ini menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negara, jadi apabila sudah ada keputusan tertentu untuk kita laksanakan sama ada keputusan kabinet, daripada kementerian lain yang dipersetujui kabinet, kita akan laksanakan keputusan yang dibuat itu.

"Kadang-kadang ia ada (melibatkan) pengurusan aliran tunai, mungkin tak bayar bulan ini, akan bayar bulan depan mengikut aliran tunai yang ada.

"Apa yang due (tiba masa) yang perlu dibuat, ada keputusan yang dibuat kabinet, perdana menteri, MOF akan akur dan akan laksanakan," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan ke-29, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah yang sebelum ini mendakwa bayaran royalti minyak kepada Kelantan kini tersangkut di MOF.

Terdahulu dalam laporan Malaysiakini pada 28 Ogos lalu, Mohd Amar berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan perdana menteri dan menteri hal ehwal ekonomi sebelum ini, kerajaan persekutuan memberi jaminan akan buat bayaran.

"Saya pernah sebut sekarang ini terletak pada MOF, sebab mereka yang akan keluarkan cek bayaran.

"Jadi tersangkut di MOF. Perdana menteri sendiri kata akan bayar royalti, dalam mesyuarat majlis kewangan negara pun sudah disahkan perkara itu. Jadi apa lagi masalah?" soal beliau.

Sementara itu diminta mengulas lanjut berhubung perkara itu, Amiruddin berkata beliau tidak mempunyai maklumat berkaitan.

"Keputusan saya tak boleh jawab kerana tak ada maklumat.

"Maknanya bila smpai masa dan ketikanya kita akan buat pembayaran," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.