Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis akan panggil Najib kes Nga didakwa hina sultan

Polis akan memanggil bekas perdana menteri Najib Razak susulan laporan yang difailkan terhadapnya oleh setiausaha kepada Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berhubung dakwaan membuat hantaran palsu dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5, Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid memaklumkan anggota parlimen Pekan itu akan dipanggil dalam masa yang terdekat.

"Ya, kami akan merakamkan kenyataannya [...] ia akan dilakukan dalam masa terdekat tetapi kami belum menetapkan tarikh," katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha sulit kanan Nga, Tan Tiong Yih membuat laporan terhadap Najib di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh minggu lepas.

Terdahulu hari ini, Nga menghabiskan hampir dua jam di Bukit Aman bagi direkodkan kenyataannya mengenai dakwaan membuat hantaran menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Mior, MP Teluk Intan itu hadir sebagai saksi dan polis akan memanggil semula Nga memandangkan beliau perlu menghadiri sidang parlimen hari ini, yang mana beliau ialah timbalan yang dipertua Dewan Rakyat.

Sementara itu bercakap kepada media di luar ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini, Nga dalam satu kenyataan ringkas menggesa polis menyiasat laman Facebook bekas perdana menteri Najib Razak kerana didakwa memuat naik berita palsu dengan niat untuk memfitnah.

Pada 2 Oktober lalu, pengiring Sultan Selangor membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun 'Nga Kor Ming Super Fans Club' yang didakwa menghasut masyarakat Cina membenci Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pemilik akaun berkenaan dikatakan mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor, susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di negeri itu.

Najib turut berkongsi hantaran itu melalui akaun Facebook miliknya dan mengaitkannya dengan Nga.

Nga bagaimanapun menegaskan akaun Facebook berkenaan adalah palsu dan hantaran berkenaan merupakan fitnah jahat terhadapnya.

Nga juga menuntut Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana memuat naik hantaran palsu di Facebook untuk menyemai kebencian di kalangan rakyat terhadap beliau dan DAP.

Lihat Komen
ADS