Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman Ismail Sabri, bekas IGP: RM850,000 untuk Nurul Izzah
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 6:14 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan menerima ganti rugi RM850,000 dalam kes saman fitnah terhadap bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung pertemuannya dengan puteri Sulu, Jacel Kiram, empat tahun lalu.

Peguam Nurul Izzah, Ranjit Singh memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa anak guamnnya dan Ismail Sabri telah mencapai penyelesaian.

Beliau berkata pihak-pihak dalam saman itu telah bersetuju dengan rayuan Ismail Sabri terhadap liabiliti untuk dibatalkan dan juga untuk beliau membayar jumlah kuantum ganti rugi yang lebih rendah kepada Nurul Izzah daripada RM600,000 kepada RM450,000.

Ranjit berkata Ismail Sabri akan turut memohon maaf secara peribadi kepada Nurul Izzah.

Peguam K. Ragunath, yang mewakili Ismail Sabri, mengesahkan penyelesaian kes saman tersebut.

Sementara itu, Khalid tetap diperlukan membayar ganti rugi RM400,000 selepas rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membayar jumlah itu ditolak oleh mahkamah dengan kos sebanyak RM15,000.

Jacel Kiram

Sidang hakim terdiri daripada Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Wira Kamaludin Md Said dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mendengar rayuan Khalid selepas beliau gagal mencapai penyelesaian jumlah kuantum itu dengan Nurul Izzah.

Hamid Sultan berkata mahkamah mendapati ada liabiliti terhadap Khalid.

Terdahulu, Ranjit memberitahu mahkamah bahawa Khalid tidak bersetuju dengan cadangan anak guamnnya bagi mengurangkan jumlah kuantum kepada RM300,000.

Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom, mewakili Khalid, meminta pihak-pihak berkenaan kes itu menyokong hujahannya bahawa kuantum ganti rugi seharusnya lebih rendah daripada jumlah yang dicadangkan.

Khalid Abu Bakar 

Pada 18 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ismail Sabri dan Khalid masing-masing membayar ganti rugi RM600,000 dan RM400,000 kepada Nurul Izzah selepas memutuskan bahawa kenyataan dibuat oleh mereka pada dua sidang akhbar berasingan, dalam makna semula jadi dan biasa memfitnah Nurul Izzah.

Nurul Izzah menyaman dua orang itu kerana mendakwa mereka menggambarkan beliau sebagai seorang pengkhianat kepada negara dan perancang pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013.

Nurul Izzah menghadiri prosiding mahkamah dengan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-Bernama

Lihat Komen
ADS