Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Johor siasat pengguna FB didakwa aibkan calon PH
Diterbitkan:  Nov 1, 2019 4:13 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Polis Johor sedang menyiasat laporan mengaitkan pemilik akaun Facebook yang didakwa "mengaibkan" bakal calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Bernama yang melaporkan perkara itu memetik Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din sebagai berkata bahawa laporan polis diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada 29 Okt.

"Sekarang ini masih dalam proses mengenal pasti siapa pemilik akaun peribadi itu dan sekiranya telah dikenal pasti kita akan menjalankan tangkapan ke atas suspek di bawah seksyen itu," katanya pada sidang media khas di IPD Pontian, Johor seperti dilapor.

Beliau berkata, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohd Kamarudin berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada pihaknya menerima sebarang laporan polis berhubung sebarang insiden berkaitan PRK itu.

Laporan itu bagaimanapun tidak memperincikan berkenaan laporan polis yang dibuat.

Terdahulu, tersebar kiriman di media sosial yang dimuat naik pengguna Facebook yang mempersoalkan latar pendidikan dan kerjaya Karmaine.

Susulan itu, Karmaine menjelaskan bahawa diploma lanjutan seni binanya adalah setara dengan Ijazah Sarjana Muda dan diiktiraf industri pekerjaan termasuk kerajaan dan swasta.

Karmaine turut mempersilakan mana-mana pihak untuk menyemak kelulusannya dari pihak universiti.

“Alhamdulillah, terima kasih kerana mengambil berat namun kelulusan saya yang mempunyai Diploma Lanjutan dalam bidang seni bina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah sahih dan ia boleh dirujuk kepada Senat UiTM bagi pengesahan," katanya dipetik Berita Harian.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 Nov ini, manakala penamaan calon akan diadakan esok dan pengundian awal pada 12 Nov.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid mewakili PH memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Lihat Komen
ADS