Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan dakwa ketua biskop Cyprus bantu percepat kelulusan pasport Jho Low

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, mendapat sokongan Ketua Biskop Cypros Chrysostomos II dalam usahanya mendapatkan pasport dari negara kepulauan Mediterranean itu, menurut satu laporan berita.

Menurut akhbar Cyprus Politis, Chrysostomos II yang merupakan ketua gereja Kristian Ortodoks negara itu dalam sepucuk surat kepada menteri hal ehwal dalam negeri ketika itu Socrates Hasicos bertarikh 1 September 2015, menyatakan permintaannya agar Jho Low diberikan status warga naturalisasi melalui Pelan Pembangunan Cyprus.

Laporan muka depan itu memetik sumber yang berkata penasihat Low yang merujuknya kepada Chrysostomos II, yang mempunyai akses yang diperlukan untuk mempercepatkan status kewarganegaraan negara itu.

Laporan itu mendakwa Chrysostomos II memberitahu Hasicos bahawa Jho Low akan berada di Cyprus pada 18 September tahun itu dan boleh menghadiri pertemuan bagi membincangkan pelaburan di tanah milik gereja.

Dia juga didakwa meminta menteri itu menimbangkan permohonan Jho Low untuk mendapatkan pasport.

Politis berkata setahun sebelumnya, iaitu pada 2014, kerajaan Cyprus memperkenalkan syarat yang lebih ketat untuk naturalisasi atas kebimbangan program itu berisiko disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Dakwanya lagi, syor oleh Chrysostomos II mungkin telah membantu permohonan Jho Low memandangkan ahli perniagaan itu pada masa itu telah berada dalam perhatian susulan dakwaan penglibatan dalam skandal 1MDB.

Menurut laporan itu lagi, lelaki kelahiran Pulau Pinang itu tiba di Cyprus pada 18 September 2015 dan berjaya mendapatkan pasportnya, yang pada masa sama turut memberikannya status warga Kesatuan Eropah.

Pelaburan di tanah gereja tidak terlaksana tetapi dilaporkan Jho Low memenuhi syarat dengan mendepositkan lima juta euro di bank Cyprus untuk tempoh tiga tahun dan membeli kediaman kekal dengan harga sekurang-kurangnya 500,000 euro.

Semalam, Politis melaporkan Low membeli sebuah villa tidak siap bernilai lima juta euro di Aya Napia pada 23 September 2015 untuk memenuhi syarat itu.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB dan kini bekerjasama dengan Malaysia untuk mendapatkan semula dana tersebut.

Bekas perdana menteri Najib Razak kini dibicarakan atas dakwaan rasuah berhubung skandal 1MDB.

Hari ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihak berkuasa sebuah negara, di mana Jho Low dipercayai bersembunyi, tidak memberi kerjasama kepada polis Malaysia.

Tanpa menamakan negara itu, Hamid berkata pihak berkuasa di sana antara lain memberi alasan Jho Low sudah membuat pembedahan mengubah wajahnya seperti beruang.

“Ada ketikanya dia berjalan akan menyerupai seekor tambadau (seladang). Jadi, bila kita lihat dari belakang, begitulah rupanya. Adakah logik alasan diberikan ini (oleh pihak berkuasa negara itu),” katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS