Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penduduk yang tinggal berdekatan dengan Hospital Orang Asli dekat Jalan Gombak diganggu rasa jijik apabila hutan mereka dijadikan sebagai tapak pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Masalah pencemaran itu semakin parah sejak akhir-akhir ini apabila barang penghantaran makanan dibuang dalam kuantiti besar ke kawasan tersebut, meskipun telah meminta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk campur tangan.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Sekolah Hutan Gombak, Mejar Kalam Pie (Bersara) berkata, pembuangan sampah di kawasan hutan itu dilakukan secara berleluasa sejak bertahun-tahun lalu.

“Ia terjadi hampir setiap hari, selalunya pada waktu malam. MPS dah lantik satu syarikat untuk menguruskan laluan ini. Selalunya, kontraktor itu akan hantar jengkaut untuk tolak sampah-sarap itu ke dalam jurang.

“Sejak 2011, Sekolah Hutan Gombak telah anjurkan (aktiviti pembersihan hutan) hampir setiap suku tahun, dengan melibatkan pelbagai NGO, universiti dan sekolah.

“Mereka (pembuang sampah) buat tempat ini macam tapak pelupusan percuma untuk mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

 

Menurut Kalam, dia tidak pernah terserempak dengan pembuang sampah tersebut, namun mendakwa ada pengayuh basikal berjaya mencatat nombor pendaftaran lori terbabit dan telah menghantarnya ke MPS untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, tambahnya, setakat pengetahuannya, tidak banyak yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan negeri Selangor, selain menolak sampah-sarap ke dalam jurang.

Sampah-sarap yang makin bertimbun itu, dikhuatirinya akan menyebabkan tersebar penyakit dan pencemaran bekalan air, memandangkan sungai di kawasan itu bersambung dengan Sungai Gombak.

Azmin Ali

Pada 2015, bekas menteri besar Azmin Ali pernah mengarahkan MPS untuk mengambil tindakan terhadap 10 tapak pembuangan sampah haram di Gombak- salah satunya ialah tapak ini.

Sepuluh tapak tersebut, merupakan antara 60 tapak yang menjadi tempat pembuangan sampah secara berleluasa, berukuran antara antara 4ha dan 7ha, dan dilaporkan terletak di Sungai Pusu, Batu 8 Gombak, Kundang, Kuang, Kepong, Batu Caves, Rawang dan Batu Arang.

Seorang pesara, Aleg Along turut berkongsi perkara sama seperti Kalam, mengatakan kejadian itu sudah berlanjutan bertahun-tahun lamanya, namun tiada tindakan daripada agensi kerajaan.

“Kita tak boleh ambil tindakan sendiri (confront) terhadap pihak yang membuat sampah ini tanpa penglibatan agensi kerajaan. Kalau kami cuba hentikan mereka ini, nanti kami pula disalahkan. Kami takut nak buat apa-apa,” katanya.

Pembuangan berdekatan hospital di Gombak itu dibangkitkan baru-baru ini oleh Dekan Fakulti Seni dan Komunikasi Universiti HELP, Andy Hickson.

 

Hickson berketurunan British, namun menghabiskan usia remajanya bersama orang Temiar di Kelantan.

Dia menemukan kawasan pembuangan sampah itu apabila sedang mendaki di kawasan terbabit.

“Saya selalu berasa terkejut apabila melihat pencemaran sampah-sarap pada skala industri. Saya terganggu melihat sisa yang terang-terangan bukan sisa domestik, dibuang di dalam hutan.

“Semasa mengambil gambar sampah-sarap itu, saya perasan ada banyak sampah Food Panda,” katanya yang ada membuat video pendek dan mengambil gambar untuk mengetengahkan isu itu.

“Budak-budak bermain berdekatan sini, dan (pada masa sama) ada pula sekawan monyet yang menggali dalam timbunan sampah-sarap ini.

“Ada sampah dah masuk ke dalam sungai dan mencemarkannya. Saya rasa nak muntah. Lebih teruk lagi, orang di sini beritahu saya, perkara ini dah berlanjutan bertahun-tahun lamanya, dan nampaknya tiada sesiapa mahu buat apa-apa tentangnya,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi MPS dan Food Panda bagi mendapatkan maklum balas mereka.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS