Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas hakim, pendakwa dan peguam didakwa terima suapan
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 12:20 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas, 45 hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM17,500 sebagai upah dia hanya mengenakan denda terhadap tujuh warga asing yang melakukan kesalahan Imigresen, pada Julai lalu.

Selain bekas hakim tersebut turut didakwa adalah Khairul Azhwa Yusrie, 32, yang juga bertugas sebagai timbalan pendakwa raya di mahkamah sama serta peguam Noor Amirul Nazreen, 31.

Azmil kini bertugas sebagai pegawai undang-undang di Istana Kehakiman di Putrajaya manakala Khairul Azhwa Yusri bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, antara jam 9.30 pagi hingga 2.45 petang pada 17 Julai lalu di mahkamah sama.

Dipercayai, ini kali kedua dalam sejarah Malaysia seorang hakim yang sedang berkhidmat diheret di mahkamah susulan pertuduhan jenayah.

Kes ini dipercayai mempunyai kaitan dengan siri penangkapan SPRM pada Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong, 40, sebagai upah kepada Azmil untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan di bawah perenggan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

TPR SRPM, Allan Suman Pillai menawarkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Barisan peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu antara RM2,500 hingga RM12,000 setiap seorang.

Azmil diwakili peguam Gregory Santiago, A Sheelan, Ridha Abdah Subri dan Jagesh M Lingam manakala Khairul Azhwa Yusri diwakili Zulkepli Omar dan Nur Fathin Muhammad Zain. Noor Amirul Nazreen pula diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noorhidayah Mohd Saad.

Hakim Rozilah Salleh kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Di mahkamah sama, Azmil turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu secara rasuah memperoleh bagi dirinya sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, wang tunai RM5,000 yang didepositkan ke dalam akaun banknya daripada Soo Seng Kok, 36, melalui Zumairi Othman, 37, seterusnya melalui Ahmad Feisal Mohd Azmi, 37.

Wang itu adalah sebagai upah kepada tertuduh kerana melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu menjatuhkan hukuman denda terhadap enam individu yang melakukan kesalahan di bawah subsekyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka (Akta 289).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Jalan Meru, Klang, pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 17(a) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali jumlah rasuah terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azmil juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi kesalahan serupa iaitu menerima bagi dirinya RM5,000 tanpa balasan daripada individu sama.

Bagi pertuduhan itu, Azmil dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Lihat Komen
ADS