Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ugut saksi kes 1MDB: Pengurusan kes prosiding komital Lokman pada 22 Nov
Diterbitkan:  Nov 8, 2019 11:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Nov untuk pengurusan kes prosiding komital dikemukakan Peguam Negara Tommy Thomas terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam kerana didakwa menggugut seorang saksi dalam perbicaraan kes Najib Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi itu ialah Amhari Efendi Nazaruddin iaitu bekas pegawai khas kepada Najib yang merupakan seorang daripada saksi penting dalam kes tersebut.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam, bertindak bagi pihak Peguam Negara dan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed mewakili Lokman, yang hadir hari ini.

Terdahulu, Wan Aizuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya baru sahaja menerima afidavit tambahan daripada pihak pendakwaan pada 5 Nov lepas.

"Oleh kerana afidavit tambahan itu baru diserahkan kepada kami, jadi pihak kami memerlukan masa untuk meneliti afidavit tersebut dan akan mempertimbangkan sama ada ingin membuat permohonan untuk mengetepikan prosiding komital yang diperoleh (Peguam Negara) atau terus menjawab afidavit berkenaan," katanya.

Wan Aizuddin turut memohon maaf ke atas ketidakhadiran peguam utama kes itu, Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding hari ini kerana beliau perlu pergi ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengendalikan satu kes bunuh.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memaklumkan pihaknya juga akan meminda notis usul berkenaan prosiding komital itu.

Pada 22 Okt lepas, Hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman.

Pada 10 Okt lepas, Peguam Negara selaku pemohon telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana perbuatannya yang menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 Sept.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Peguam Negara berkata pada tarikh itu (25 Sept) responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk menggugut saksi, Amhari Efendi kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara berkata beliau juga akan menyiarkan rakaman video berhubung temu bual itu pada pendengaran prosiding komital jika mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi pendakwaan kelapan berkenaan keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

Objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan, kata Peguam Negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS