Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBT diarah pasang papan tanda peringatan meski tiada larangan minum arak
Diterbitkan:  Nov 11, 2019 4:43 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Meskipun tiada undang-undang yang melarang untuk mana-mana individu meminum arak di kawasan awam, kerajaan Selangor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang papan tanda peringatan bagi menjaga keselesaan dan ketenteraman orang ramai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata menerusi langkah itu, PBT akan mengambil tindakan tegas terhadap peminum arak yang menimbulkan kekecohan di kawasan berkenaan.

“Polis mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap peminum arak itu sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mengambil langkah menjalankan rondaan pemantauan di lokasi awam dan jika berlaku kacau ganggu akibat mabuk, mereka akan melaporkan terus kepada polis,” katanya seperti dilapor Berita Harian Online.

Bagaimanapun, kata Ng tiada larangan untuk mana-mana individu meminum arak di taman awam di negeri ini.

"Ini selaras dengan ketetapan Undang-Undang Kecil Taman 2005," katanya.

Ng berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chua Wei Kiat (PKR-Rawang) dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Chua sebelum itu bertanya tentang tindakan kerajaan Selangor dalam mengatasi kekecohan yang dilakukan peminum arak di kawasan awam.


Lihat Komen
ADS