Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak berkongsi sentimen yang sama dengan bekas presiden Umno Najib Razak yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membela dirinya terhadap tujuh pertuduhan berkaitan salah guna dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam bela utama bekas perdana menteri, Muhammad Shafee Abdullah berkata Najib terkejut dengan keputusan mahkamah itu.

Ketika ditanya mengenai hal itu pada sidang akhbar pada malam ini, Dr Mahathir berkata: "Beliau (Najib) terkejut? Saya juga terkejut (bila) beliau terkejut."

"Seluruh dunia tahu Najib bersalah. Tetapi kami perlu mengikuti kedaulatan undang-undang.

"Kami menghantarnya ke mahkamah untuk melihat sekiranya beliau mempunyai kes, dan (kini) beliau perlu menjawab," kata Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Dr Mahathir turut menegaskan Najib telah dibenarkan ikat jamin, tidak seperti orang yang ditangkap sebelum ini kerana mendedahkan skandal 1MDB, termasuk peguam Matthias Chang dan ahli politik Khairuddin Abu Hassan.

"Beliau (Najib) mendapat sakit mata dan beliau masih boleh berkempen... Tetapi tidak boleh hadir ke mahkamah.

"Semua hal-hal karut ini kami dapat daripada beliau kerana kami bersikap lembut dan kami mematuhi kedaulatan undang-undang," kata Mahathir merujuk penampilan Najib di Tanjung Piai untuk berkempen bagi calon BN, Wee Jeck Seng pada pilihan raya kecil yang sedang berlangsung.

Terdahulu hari ini, Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendakwa wujud campur tangan Dr Mahathir membabitkan kes dihadapi Najib.

"Saya hadir hari ini hanya untuk memaklumkan bahawa, Mahathir akan menjadi perdana menteri pertama yang kematiannya akan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

"Kezaliman Mahathir tidak akan berhenti hingga nyawanya dicabut malaikat maut.

"[...] Saya daripada awal sudah tahu memang ada campur tangan daripada Mahathir, kalau tidak ada campur tangan sudah pasti kes ini sudah lama digugurkan," kata Lokman.

Bagaimanapun, Dr Mahathir pada malam ini menafikan dakwaan Lokman itu.

"Jika beliau dapat membuktikannya maka beliau boleh berbuat demikian (membuat dakwaan itu). Saya tidak pernah campur tangan dengan mahkamah," jelasnya.

Lokman antara seratus penyokong bekas perdana menteri yang berkumpul di luar kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC.

[Baca berita asal]

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 

Lihat Komen
ADS