Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakim tolak permohonan tangguh kes pinda audit 1MDB

Perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak dan bekas presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan audit syarikat pelaburan negara itu akan bermula Isnin depan.

Ini selepas hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak sekali lagi permohonan penangguhan perbicaraan itu, yang telah ditetapkan dari 18 hingga 29 Nov dan dari 13 Jan hingga 17 tahun depan.

Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa mereka meminta penangguhan perbicaraan itu kerana terdapat beberapa kes melibatkan Najib yang sedang berlangsung.

Kes-kes itu termasuk perbicaraan berkaitan 1MDB, yang masih di peringkat pendakwaan dan perbicaraan SRC International yang mana Najib telah dipanggil untuk membela diri.

Gopal berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi merupakan saksi utama pihak pendakwaan dalam kes pindaan audit berkenaan, dan pada masa yang sama, beliau juga memberi keterangan dalam kes perbicaraan terhadap Najib berkaitan 1MDB.

"Saya tidak boleh teruskan kerana saksi saya sedang disoal balas. Perlu habis (dengan keterangan Shahrol dulu) kerana dia adalah orang yang dapat menjelaskan apa yang berlaku.

"Keterangannya adalah sangat penting kepada pihak pendakwaan," kata Gopal.

Menurut Gopal, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah juga telah memaklumkan kepada pasukan pendakwaan dalam kes SRC bahawa ia "mungkin berlangsung sehingga April."

Terdapat satu lagi kes Najib yang dibicarakan di hadapan Nazlan, di mana bekas perdana menteri itu sedang menghadapi enam tuduhan pecah amanah bersama-sama dengan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah yang melibatkan dana RM6.6 bilion.

Kes itu ditetapkan untuk didengar di hadapan Nazlan selama 48 hari bermula 6 Jan tahun depan.

Bagaimanapun, Gopal berkata, hakim telah memaklumkan kepada pasukan pendakwaan dalam kes SRC bahawa beliau akan mengosongkan kes berkenaan untuk membenarkan kes Najib berkaitan SRC didengar terlebih dahulu.

Hakim enggan tangguh, sukar cari tarikh baru

Bagaimanapun, selepas mendengar permohonan Gopal, Zaini berkata beliau enggan untuk memberi penangguhan kerana dua sebab.

"Jika saya mengosongkan tarikh tersebut, saya akan sukar untuk mencari tarikh baru.

"Kedua, saya mengambil pandangan bahawa pihak pendakwaan mungkin dapat menawarkan beberapa saksi (lain sebelum Shahrol). Saya ingin mencadangkan memanggil saksi lain," katanya.

Berikutan itu, peguam Najib Farhan Shafee menimbulkan kebimbangan bahawa pihak pembelaan mempunyai masa yang ketat untuk menyediakan pembelaan jika perbicaraan mengenai pindaan audit itu berlangsung mengikut jadual.

Farhan memberitahu mahkamah bahawa peguam dan pendakwa raya dalam kes SRC akan tampil di hadapan hakim Nazlan Jumaat ini berhubung permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan dokumen dan bukti daripada pihak pendakwaan.

Beliau berkata tertakluk kepada keputusan permohonan itu, barulah mereka akan dapat mengukur masa yang diperlukan untuk menyediakan hujah pembelaan.

Zaini kemudian memberitahu peguam bela untuk menunggu keputusan mengenai perkara itu pada Jumaat.

"Jika ada keperluan untuk lebih banyak masa, saya beri jaminan kepada kamu, kami akan pertimbangkan," kata Zaini.

Ini adalah kali kedua Zaini menolak permohonan untuk menangguhkan perbicaraan mengenai pindaan audit 1MDB.

Pertama pada bulan lepas, apabila beliau mengekalkan tarikh perbicaraan walaupun Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim memohon untuk mengosongkan tarikh kerana ia bertindih dengan perbicaraan Najib membabitkan dakwaan penyelewengan dana RM2.8 bilion 1MDB yang sedang berlangsung. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS