Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
233 bekas kakitangan Utusan mohon bantuan zakat
Diterbitkan:  Nov 14, 2019 10:10 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Sehingga 17 Oktober lalu, iaitu lebih seminggu selepas operasi Utusan Melayu (Malaysia Berhad), Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima permohonan bantuan zakat daripada 233 bekas kakitangan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop dilapor berkata, nama kakitangan itu diterima secara berperingkat daripada pelbagai sumber.

“LZS akan menjalankan siasatan dan bancian ke rumah berdasarkan haddul kifayah sebelum mereka yang layak didaftar sebagai asnaf sementara.

“Bantuan zakat disalur bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga sehingga kehidupan mereka stabil,” katanya seperti dilapor Selangorkini, semalam.

Saipolyazan sementara itu mengalu-alukan kakitangan Utusan lain yang terjejas memohon bantuan zakat melalui penolong amil kariah (PAK) yang dilantik.

Menurutnya, ia boleh dilakukan di kariah masing-masing atau mengunjungi cawangan berhampiran.

“Proses permohonan sama seperti pemohon lain dan tertakluk kepada syarat umum kelayakan zakat serta haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan),” tambahnya.

Antara syarat umum yang ditetapkan ialah pemohon terdiri daripada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Susulan masalah kewangan yang dihadapinya, akhbar bahasa Melayu tertua negara itu menghentikan operasinya bermula 9 Okt lalu.

Pada 7 Nov lalu, Bernama melaporkan seramai 382 daripada 815 pekerja Utusan memfailkan tuntutan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan bantuan kewangan setakat 1 Nov lepas.

Lihat Komen
ADS