Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Syabas Harimau Malaya
Diterbitkan:  Nov 19, 2019 10:45 PM
Dikemaskini: 3:07 PM

Safawi Rasid menghidangkan khabar gembira buat penyokong Harimau Malaya apabila membawa pasukan kebangsaan ke tempat kedua kumpulan G apabila menundukkan Garuda Merah 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kemenangan bergaya itu membolehkan Malaysia mendapat sembilan mata daripada lima perlawanan bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Harimau Malaya juga 'dibantu' oleh keputusan seri tanpa jaringan perlawanan Vietnam - Thailand yang berlangsung pada waktu sama.

Selepas perlawanan berakhir, Vietnam menduduki tempat teratas dengan 11 mata, manakala Thailand kekurangan satu mata berbanding Malaysia.

Satu lagi pasukan dalam kumpulan G ialah Emiriah Arab Bersatu yang tidak bermain pada malam ini.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu memerlukan masa selama 30 minit untuk membawa kegembiraan buat Malaysia apabila Safawi menjaringkan gol pertama.

Pemain JDT itu kemudian menggadakan gol melalui tendangan kencang dari kiri pintu gol Indonesia pada minit ke-73 dan gagal ditangkis oleh Muhammad Ridho.

Pasukan pelawat berpeluang merapatkan jurang apabila pengadil memberikan penalti kepada mereka selepas salah seorang pemain Indonesia, Febri, dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-83.

Bagaimanapun tendangan yang kurang bertenaga daripada penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous dapat dibaca penjaga gol Malaysia, Mohd Farizal Marlias, yang menangkapnya dengan baik di kanan gawang.

Untuk rekod, skuad Garuda Merah Putih itu setakat ini gagal mendapat sebarang mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Sebelum ini Harimau Malaya sudah melakar tiga kemenangan masing-masing mengalahkah Indonesia 3-2 dalam perlawanan pusingan pertama di Jakarta pada 5 Sept lalu.

Mereka meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan juara lima kali Piala AFF Suzuki, Thailand, dengan 2-1 juga di Bukit Jalil pada 14 November lepas.

PEMAIN MALAYSIA: Khairulazhan Mohd Khalid (Mohd Farizal Marlias), Shahrul Mohd Saad, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak (kapten), La'Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Muhammad Syahmi Safari, Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Mohd Afiq Fazail), Mohamed Syamer Kutty Abba, Mohamadou Sumareh, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Norshahrul Idlan Talaha), Muhammad Safawi Rasid.

PEMAIN INDONESIA: Muhammad Ridho Djazulie, Otavio Dutra, Ricky Fajrin Saputra, Rudolof Yanto Basna (kapten), Gavin Kwan Adsit, Teuku Muhammad Ichsan (Rizki Pora), Hendro Siswanto, Septian David Maulana (Dendi Santoso), Febri Hariyadi, Bayu Pradana Andriatmoko, Gregory Junior Nwokolo (Osas Marvellous Ikpefua).

PENGADIL: Alireza Faghani (Iran)

Lihat Komen
ADS