Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Persekutuan hari ini melepas dan membebaskan seorang nenek warga Australia berumur 55 tahun yang sebelum ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, mengetuai panel lima hakim yang bersidang dan sebuat suara membatalkan sabitan yang dibuat Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Mereka memutuskan Maria Elvira Pinto Exposto tidak mengetahui mengenai dadah yang tersembunyi di dalam begnya.

Selain Tengku Maimun, empat hakim lain ialah Ketua Hakim Malaya, Azahar Mohamed; Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh; Idrus Harun; dan P Nallini.

Maria pula diwakili peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah.

Ibu kepada empat anak yang berpakaian blaus bercorak warna ungu itu kelihatan tenang dan tersenyum ketika hakim mengumumkan keputusan tersebut.

Ia menjadi hadiah hari jadi paling bermakna buat Maria yang lahir pada 20 Disember.

Anaknya, Hugo Exposto turut hadir bersama beberapa orang pegawai dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia. Selepas pendengaran kes, mereka menjawab soalan petugas media.

Tersembunyi dalam beg

Pada 2014, Maria dituduh mengedar 1.1kg kristal methamphetamine yang turut dikenali sebagai ice melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap Maria ketika dia melakukan transit penerbangan dari Shanghai, China ke Melbourne, Australia.

Maria berkata dia tersalah masuk melalui imigresen disebabkan dia tidak biasa dengan kawasan lapangan terbang itu.

Pihak berkuasa mendapati dadah tersebut diletakkan di salah satu bahagian tersembunyi di dalam begnya.

Menurut Maria, dia diperdaya individu tidak dikenali yang meminta bantuannya membawa bag tersebut kepada saudaranya di Melbourne yang dikatakan mengandungi hadiah sambutan Krismas.

Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu telah membebaskan Exposto selepas hakim memutuskan tertuduh tidak sedar membawa dadah di dalam begnya.

Kemudian, pendakwaan mencabar keputusan itu dan Mahkamah Rayuan mendapati dia bersalah yang membawa kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Dalam penghujahan hari ini, Shafee memaklumkan mahkamah bahawa Maria pergi ke Shanghai untuk mendapatkan dokumen berkaitan persaraan teman lelakinya, Kapten Daniel Smith yang dikenalinya secara atas talian.

Shafee (dua dari kiri) bercakap kepada media disaksikan anak Maria, Hugo (tengah)

“Saya pergi ke Shanghai dan menginap di sebuah hotel yang dibayar oleh teman lelaki saya, Kapten Daniel… tujuan saya ke sana adalah untuk menandatangani surat persaraan.

“Pada 6 Dis 2014, seorang lelaki datang ke hotel dan memberikan saya kertas untuk ditandatangani bagi pihak dari teman lelaki saya.

"Ketika menghantar saya ke lapangan terbang, dia menyerahkan sebuah beg yang mengandungi pakaian untuk diberikan kepada saudaranya di Melbourne. Lelaki itu mengatakan bahawa ia adalah hadiah hari krismas.

“Dia memberitahu seseorang di lapangan terbang Melbourne akan mengambil beg tersebut," katanya.

Kalau ais mesti cair

Maria - yang menukar penerbangannya dari KLIA ke Melbourne - tersilap melalui kaunter imigresen dan begnya diperiksa oleh anggota keselamatan terbabit.

“Salah seorang pegawai imigresen memberikan keterangan bahawa Maria adalah orang yang lurus bendul.

“Apabila pihak berkuasa menyebut bahawa mereka terjumpa ice di dalam beg, Maria berkata tak mungkin ais, sebab ais mesti cair.

“Dia menyangka pegawai itu benar-benar maksudkan bahawa ia adalah ketulan ais sebenar,” kata Shafee.

Selepas ditahan, Maria masih percaya bahawa Kapten Daniel Smith adalah individu yang benar-benar wujud.

“Masa selama dua bulan diambil untuk meyakinkan Maria bahawa lelaki tersebut tidak pernah wujud,” kata Shafee sambil menambah bahawa tertuduh merupakan contoh terbaik berhubung isu penipuan percintaan alam maya.

Maria dijangka kembali ke Australia dalam tempoh 48 jam.

Shafee pula berkata, Maria tidak dapat bercakap buat masa ini kerana terlalu gembira apabila mengetahui dia akan dibebaskan.

“Dia sangat gembira dia tidak dapat bercakap. Dia tahu dia akan dibebaskan.

"Saya sangat gembira dengan keputusan tersebut. Maria tidak bersalah. Dia telah dipenjarakan selama lima tahun untuk kesalahan yang dia tidak lakukan. Saya bersimpati terhadapnya. Dia terus tersenyum seolah-olah ia adalah gurauan. Itulah dia yang saya kenal," katanya.

Sementara itu Hugo berkata, perkara terpenting yang ingin dilakukannya sekarang ialah membawa ibunya pulang ketika banyak detik bahagia yang sepatutya dilalui, sudah terlepas.

Lihat Komen
ADS