Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganjur ekspo tatu kemuka permohonan maaf
Diterbitkan:  Dec 3, 2019 4:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Penganjur Tattoo Expo Malaysia 2019, Blackout Trading, hari ini memohon maaf berhubung insiden membabitkan peserta pertandingan muncul dalam keadaan separuh bogel dan ditularkan di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut pengasas ekspo tersebut - yang hanya mahu dikenali sebagai Carlos atau Benny - insiden tersebut tidak disengajakan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), serta Biro Konvensyen & Pameran (MyCEB) tidak patut dipersalahkan.

"Bagi pihak jawatankuasa penganjur Tattoo Expo Malaysia 2019, Blackout Trading, kami secara ikhlas meminta maaf atas kecacatan yang berlaku semasa ekpo itu," kata Carlos dalam satu kenyataan.

Acara itu berlangsung dari 29 Nov hingga 1 Dis lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan disertai lebih 35 negara.

Menurut Carlos, pihaknya amat kesal dengan kejadian itu dan berjanji kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi.

Katanya daripada kejadian itu penganjur dapat belajar pelbagai perkara serta kelemahan.

Carlos berkata penganjur memang mendapat sokongan daripada MyCeb tetapi pada masa sama mereka gagal memberikan butiran terperinci mengenai aktiviti semasa pameran tersebut.

"Motac dan MyCEB tidak patut dipersalahkan kerana masalah yang disebabkan oleh kami," katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi, berkata beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan ke atas kejadian itu selepas gambar-gambar ditularkan model dalam keadaan separuh bogel.

Mohamaddin juga mengesahkan bahawa ekspo seumpama itu telah diadakan di Sabah sebelum ini dan berlangsung tanpa kejadian yang tidak diingini.

“Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi ia telah melanggar tatasusila.

"Penganjuran acara bertaraf antarabangsa adalah baik untuk industri pelancongan negara tetapi bukan dengan cara yang tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan," katanya.

Lihat Komen
ADS