Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib saman Ambank, Joanna Yu kerana terima arahan Jho Low

Bekas perdana menteri Najib Razak menyaman Ambank dan bekas pengurus hubungannya, Joanna Yu kerana menerima arahan daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Jho Low serta mendedahkan maklumat perbankan kepadanya.

Najib yang kini menghadapi perbicaraan jenayah berkaitan tiga akaun dengan bank berkenaan, menuntut ganti rugi dari Ambank dan Yu kerana didakwa melakukan perbuatan itu, yang melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) dan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia).

Menurut peguamnya, Muhammad Farhan Shafee, Yu mengambil arahan daripada Low dengan menghalang amaran 'red flags' terhadap akaunnya dikeluarkan dan menghalang ahli politik berkenaan daripada dimaklumkan mengenai perkara itu serta mengambil tindakan.

"Saman itu adalah mengenai pelanggaran tanggungjawab oleh bank dan Yu kerana bertindak di luar skop amalan standard perbankan dengan mengambil arahan dan mendedahkan maklumat mengenai akaun kepada orang yang tidak dibenarkan seperti Jho Low

"Daripada perbualan Blacberry Mesengger yang kami lihat semasa perbicaraan SRC International, beberapa arahan diambil dari Jho Low menyebabkan Bank Negara Malaysia tidak mengeluarkan amaran 'red flags' anti pengubahan wang haram.

"Dato Seri Najib sepatutnya segera dimaklumkan mengenai status akaun dan campur tangan ini. Sebaliknya dia dibiarkan dalam kegelapan," kata Farhan ketika dihubungi hari ini.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu, Najib menamakan tiga defendan - AMMB Holdings Bhd, Ambank Islamic Bhd, dan Yu.

Najib kini menghadapi tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan RM42 juta dana SRC International.

Wang yang didakwa disalahgunakan dari syarikat itu dimasukkan ke tiga akaun bank Najib di Ambank antara penghujung 2014 dan awal 2015.

Semasa di peringkat pendakwaan, Yu memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, di mana dia memberitahu mahkamah mengenai komunikasi beliau dengan Low pada perkara yang berkaitan dengan akaun bank Najib.

Ini didakwa termasuk mengambil arahan daripada ahli perniagaan berkenaan walaupun Low bukan individu yang diberi kuasa untuk berbuat demikian.

Lihat Komen
ADS