Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KES SRC NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa SRC International telah memohon pinjaman pertama pada tahun 2011 sebelum ahli lembaga pengarah (BOD) dilantik.

Perkara itu diberitahu Peguam Negara Tommy Thomas apabila dia menyoal balas bekas perdana menteri Najib Razak, yang memberi keterangan ketika membela diri dalam perbicaraan melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International.

Menurut surat yang ditunjukkan di mahkamah, SRC International telah menghantar dua permohonan pinjaman kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada bulan Jun dan Julai 2011, untuk mendapatkan pinjaman masing-masing berjumlah RM3.95 bilion dan RM2 bilion.

Untuk rekod, semasa perbicaraan sebelum ini mahkamah diberitahu bahawa SRC memohon pinjaman RM2 bilion pada bulan Julai 2011 selepas KWAP menolak permintaan awal untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion.

Apabila Najib mengesahkan permohonan pinjaman itu masing-masing bertarikh pada Jun dan Julai 2011, Thomas kemudian merujuk kepada surat Najib bertarikh 1 Ogos 2011 di mana beliau melantik tujuh individu dalam lembaga pengarah SRC.

Menggunakan ini sebagai hujah, pendakwa raya mengasak Najib dengan mengatakan perkara itu bertentangan dengan keterangan awal Najib yang mendakwa semua tindakan beliau selaku pengerusi penasihat lembaga SRC telah dibuat di bawah nasihat BOD syarikat.

Thomas: Kamu setuju tujuh dokumen ini menandakan keputusan berkaitan SRC, dilakukan sebelum pengarah dilantik pada 1 Ogos 2011. Semua adalah sebelum pelantikan para pengarah. Ini adalah suatu fakta.

Najib: Pelantikan Formal. Tetapi ia mungkin dicadangkan oleh Lembaga Pengarah. Saya perlu semak perkara itu. Tetapi pelantikan rasmi adalah pada 1 Ogos.

Thomas: Kamu kata banyak kali apabila saya tanya mengenai peranan kamu sebagai pengerusi lembaga penasihat SRC, jawapan standard kamu semalam adalah bahawa semua langkah-langkah yang diambil (oleh SRC) adalah atas nasihat lembaga pengarah SRC. Kamu ingat?

Najib: Ya. Jika nasihat itu dikehendaki dari lembaga.

Thomas: Bagaimana kamu menerima nasihat sedemikian yang berhubungan dengan tujuh dokumen P356 hingga P372 apabila lembaga pengarah tidak wujud?

Najib: Ia mesti dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu.

Thomas kemudian menunjukkan bahawa semua keputusan telah dibuat secara peribadi atas arahan beliau.

Bagaimanapun, Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Ketika prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar daripada Najib bahawa beliau menyokong permohonan kedua SRC International untuk mendapat jaminan kerajaan bagi memperoleh RM2 bilion pinjaman lain pada tahun 2012.

Najib memberi keterangan bahawa beliau mempunyai keyakinan terhadap syarikat itu, walaupun bersetuju bahawa beliau tidak tahu ke mana perginya pinjaman RM2 bilion yang awal.

Menurut anggota Parlimen Pekan itu, beliau ada bertanya SRC apa yang berlaku kepada bahagian pinjaman pertama, dan diberitahu bahawa syarikat itu telah menetapkannya sebagai  "khas untuk tujuan pelaburan".

"... Itulah yang saya diberitahu," katanya.

Ini membuatkan Thomas bertanya kepada Najib jika beliau ada bertanya SRC secara khusus mengenai keberadaan RM2 bilion yang pertama.

Thomas: Adakah ia tunai di dalam bank.

Najib: Saya tidak pasti. Tetapi saya tanya kepada mereka, tetapi mereka kata ia adalah untuk tujuan pelaburan.

Thomas: Adakah kamu bertanya kepada mereka?

Najib: Saya tak tanya kepada mereka ke mana wang itu. Mereka berkata untuk pelaburan.

Thomas kemudian mengatakan bahawa Najib telah bertindak salah dengan tidak bertanya soalan lanjutan kepada SRC tetapi berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan dengan pinjaman pertama.

Najib bagaimanapun tidak bersetuju.

Lihat Komen
ADS