Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan akan kurangkan perjawatan awam sebanyak 5% - Hanipa
Diterbitkan:  Dec 13, 2019 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

PARLIMEN | Putrajaya merancang mengurangkan perjawatan awam sebanyak lima peratus sehingga 2021, kata Timbalan Menteri Undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin.

"Jumlah keseluruhan perjawatan perkhidmatan awam sehingga suku ketiga 2019 adalah sebanyak 1.7 juta dengan peratus pengisian sebanyak 91.26 peratus bersamaan dengan 1.57 juta orang merangkumi perkhidmatan awam persekutuan, badan berkanun persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Daripada jumlah keseluruhan perjawatan sebanyak 1.7 juta tersebut, 62 peratus merupakan perjawatan di sektor kesihatan, pendidikan, tentera dan polis," katanya dalam jawapan bertulis parlimen kepada soalan BN Senator Ibrahim Shah Abu Shah minggu lalu.

Jelasnya, 38 peratus lagi dari lain-lain sektor seperti pentadbiran, perkhidmatan sosial, kejuruteraan, kewangan dan ekonomi, sains, pengangkutan, bakat dan seni, kemahiran, perundangan/ kehakiman dan sebagainya.

"Kerajaan berpandangan jumlah perjawatan ini boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian perkhidmatan dan punca pendapatan pegawai yang terlibat.

"Sehubungan itu, kerajaan menyasarkan pengurangan sebanyak 5 peratus perjawatan secara berfasa sehingga tahun 2021," kata Hanipa.

Ini akan mengurangkan pekerjaan daripada 1.7 juta kepada 1.61 juta perjawatan. Dalam erti kata lain, kerajaan tidak mengurangkan jumlah kakitangan, yang kini berjumlah 1.57 juta kakitangan.

Pada Januari 2017, menteri kewangan kedua ketika itu, Johari Abdul Ghani berkata Malaysia mempunyai perkhidmatan awam yang paling kembung di dunia, dengan nisbah seorang penjawat awam bagi setiap 19.37 orang di Malaysia.

Pada bulan Februari, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata saiz perkhidmatan awam negara terlalu besar dan patut dikurangkan.

Bagaimanapun, kata perdana menteri mengurangkan saiz perkhidmatan awam akan menyebabkan masalah lain.

Sementara itu, Hanipa berkata dasar semasa untuk mengawal saiz perkhidmatan awam selaras dengan taraf ekonomi dan perkembangan teknologi.

"Kerajaan telah menggunakan beberapa kaedah, termasuk kajian mengenai pertindihan fungsi di antara entiti kerajaan, rasionalisasi pekerjaan dan mengoptimumkan sumber manusia serta mendapatkan khidmat daripada kontrak pembekal luar serta penyampaian perkhidmatan alternatif dan penswastaan.

"Kerajaan berpendirian bahawa sektor awam sewajarnya memfokuskan kepada penyediaan dasar utama, menentukan arah dan penyediaan perkhidmatan serta tidak terbabit secara aktif dalam aktiviti ekonomi perdagangan di Malaysia.

"Melalui dasar penswastaan pada tahun 1983, kerajaan telah berjaya mengurangkan bebanan kewangannya," kata Hanipa.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata "menerusi penswastaan, keupayaan dan kemampuan untuk menjana pendapatan sendiri dapat dipertingkatkan serta mengurangkan pembiayaan kerajaan terhadap perbelanjaan operasi jabatan atau agensi berkenaan.

"Kerajaan juga berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor swasta dengan gaji yang lebih lumayan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS