Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Teoh: Polis perlu seret pelaku ke muka pengadilan - Keluarga
Diterbitkan:  Dec 19, 2019 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Keluarga dan rakan mendiang Teoh Beng Hock mahu polis menyiasat mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian bekas pembantu politik pada sedekad yang lalu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah CID Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata 19 pegawai SPRM akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung kes itu.

Dalam satu kenyataan pada petang ini, Pengerusi Yayasan Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi, Ng Geok Chee mengalu-alukan langkah itu tetapi berharap pihak polis akan dapat mengungkap kes tersebut.

"Kami menyeru polis untuk mencari bukti yang jelas dan mengenal pasti pelaku yang menyebabkan luka di leher Teoh dan kemudian membunuhnya.

"Luka di leher Teoh jelas menunjukkan bahawa kes itu mempunyai unsur jenayah dan polis tidak boleh hanya menyiasat mengikut kerangka kes pengurungan secara salah," katanya.

Ng juga menyatakan pada September 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan terbuka oleh mahkamah koroner dan menolak kemungkinan bunuh diri atau kematian tidak sengaja.

"Panel tiga hakim berkenaan memutuskan bahawa satu atau lebih orang yang tidak dikenali menyebabkan kematian Teoh. Keputusan itu sebahagian besarnya berdasarkan kecederaan sebelum jatuh pada leher Teoh.

"Oleh itu, sekiranya polis enggan meneliti unsur-unsur jenayah dalam kes ini, ia akan melanggar kedaulatan undang-undang.

"Kami sekali lagi merayu kepada polis untuk melihat dua laporan polis yang diserahkan oleh organisasi tersebut, serta laporan pemantauan RCI oleh Majlis Peguam.

"10 pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan polis perlu dikenakan pertuduhan sama ada kes bunuh atau culpable homicide (melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian)," katanya.

Pada 16 Julai, Peguam Negara, Tommy Thomas (gambar, atas) mengarahkan polis untuk membuka semula kes itu, yang diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Beliau mengarahkan kes itu disiasat semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (pengurungan salah).

Teoh pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang ketika itu merupakan exco kerajaan Selangor.

Teoh ditemui mati di koridor tingkat lima di bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang ketika itu yang terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

Pada 5 Jan 2011, mahkamah koroner memutuskan bahawa kematian Teoh bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh.

Ini menyebabkan saudara lelaki mendiang Teoh, Meng Kee memfailkan rayuan terhadap keputusan terbuka koroner, yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 1 Disember.

Meng Kee memfailkan rayuan kedua kepada Mahkamah Rayuan pada 10 Feb 2012, yang kemudiannya mengetepikan keputusan mahkamah koroner itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS